Nov 6, 2011
Kerna Mereka Insan Mulia.
Nov 16, 2010
Oct 29, 2010
Revisi Oktober.
Oktober hampir melabuhkan tirainya, sesekali perlu kita menoleh kebelakang dan meniti kembali langkah-langkah yang telah kita hasilkan. Apakah ada tersasar, atau tiada bekas, atau kita sebenarnya tidak melangkah ke hadapan sedikitpun. Kita revisi kembali dan perbaiki sebarang kelemahan, InsyaAllah.
Awal Oktober baru ini, saya baru sahaja lepas cuti pertengahan semester, pembelajaran di Universiti saya kira sangat pantas. Macam semalam baru bermula, dah nak dekat Final Exam.
Sirah Muzikal
Dalam Oktober juga diadakan Program Sirah Muzikal anjuran Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA). Sepintas lalu, program ini membentangkan perjalanan sirah bermula dari saat Zaman Jahiliyah hinggalah di zaman keagungan Islam ketika Empayar Umayyah, Abasiyah dan Uthmaniyah memerintah dunia ini. Kemudian, dilayarkan detik hitam kejatuhan Khilafah pada tahun 1924.
Selang-selang dari pementasan teater, dipersembahkan nasyid oleh para munsyid-munsyid terkenal tanah air seperti Abg Nazry, Far East, dll. Bagi saya, pendekatan ini cukup baik dan mampu memberi satu nafas baru kepada kita dalam memahami dan menghayati sejarah Umat Islam yang cukup gemilang.
Walau mungkin ada beberapa kelemahan dan kekurangan dari segi teknikal dll, namun ia mampu diperbaiki dari masa ke masa. Apa yang baik, program ini dapat mencetus satu fenomena baru dalam usaha menggalakkan kita kembali mengkaji sejarah Umat Islam; bagaimana manhaj sebenar dakwah Rasulullah, bagaimana Umat Islam mampu mencapai kegemilangan dan memegang tampuk kepimpinan dunia ini, apa faktor yang menyebabkan Khilafah jatuh, bagaimana perkembangan Islam di Nusantara, dan banyak lagi. Saya kira itu lebih baik dari kita buat program besar-besaran, tapi tak mampu meninggalkan impak yang mendalam kepada semua yang terlibat dalam program tersebut. Sama-sama kita muhasabahkan.
Demam
Dalam Oktober ini juga, saya beberapa kali mengalami demam panas. Mungkin cuaca yang agak tidak menentu. Saya nasihatkan agar kita sama-sama menjaga kesihatan, lebih-lebih lagi dalam minggu peperiksaan ini. Kalau sudah sakit, macam-macam yang kita tak mampu laksanakan secara optimum. Saya beberapa kali terpaksa tinggalkan solat berjemaah di Masjid, terpaksa menghabiskan masa dengan tidur, dan banyak amal-amal fardi lain yang terpaksa dikurangkan akibat kudrat yang kian lemah, cukup menyedarkan saya betapa berharganya nikmat kesihatan.
Apa pun, redha dengan ujian ini kerna pasti banyak hikmah yang Allah ingin tunjukkan. Yang penting, bila sakit perlu ada usaha untuk sihat dan sentiasa berdoa agak diberi kesihatan dan kekuatan untuk kembali kuat dalam beribadah. Dan juga, jangan lupa riadah! :)
Musim Peperiksaan
Final Exam saya kali ini sangat padat, mula dari 28 Oktober dan tamat pada 2 November dengan 4 Subjek. Tentang peperiksaan ini, suka untuk saya ingatkan kembali tentang hakikat sebenar yang perlu kita fahami. Sudah pasti, minggu exam ini membawa beberapa fenomena:
· Berkira dengan masa kita. Setiap masa kita akan sedaya upaya isi dengan mengulangkaji pelajaran, sampai ada yang pergi keluar minum pun bawa nota. :)
· Masa tidur akan dilewatkan sampai 2-3 pagi, kadang-kadang sampai tak tidur.
· Dah tak tidur lepas Subuh, sebab exam pukul 8.30 pagi takut tertinggal.
· Masa untuk orang lain (sahabat, keluarga) menjadi kurang sebab banyak masa habis untuk diri sendiri ulangkaji pelajaran. Nak masak untuk orang lain pun jadi serba salah.
· Ibadat semakin giat, doa-doa dan solat hajat diperbanyakkan.
· Hidup jadi tak teratur (kebanyakkan orang).
Apa pun fenomena-fenomena ini tak terjadi kepada semua, namun ia berlaku secara umum kepada semua yang mengalami Exam Mode kecuali yang no3 adalah spesifik untuk diri saya.
Nasihat saya kepada semua,
1. Dalam kita sibuk-sibuk pun perlu ada masa dengan Allah, sahabat, keluarga, dakwah, dan masyarakat sekitar. Memang masa untuk kita penting, tapi setiap masa itu ada haknya juga, dan jangan kita mengurangi haknya.
2. Jangan sesekali memaksa diri kita melebihi tahap maksimum, kerna boleh jadi ia membawa kepada side effect yang berbahaya. Buat perancangan sebaiknya.
3. Mohon kemaafan kepada semua orang, kerna mungkin ada silap kita pada orang lain yang menghalang kita dari dipermudahkan menjawab peperiksaan.
4. Perbanyakkan senyuman kepada sahabat anda, kerna ia dapat mengurangkan tekanan.
5. Perbanyakkan berdoa agar diberi kemudahan, kefahaman, dan diberi kekuatan untuk terus giat dalam ibadah meskipun selepas musim peperiksaan. Juga, banyakkan Istighfar.
6. Jaga kesihatan, perbanyakkan minum air dan riadah (masa untuk badan).
Mungkin ini adalah sedikit nasihat saya kepada anda semua, walaupun dari saya yang tak layak membicarakan hal ini. Saya bukan orang pakar motivasi, atau ahli psikologi. Tapi, saya cuma kongsikan apa yang baik. Selamat menempuh peperiksaan, kejayaan anda adalah kejayaan untuk ummah ini. Bittaudik wan najjah~
*Saya cuba isikan masa saya untuk kongsikan sesuatu, kerna ia akan menjadi pendorong kepada saya dan menguatkan diri saya.
*Saya juga masih dalam Exam Mode, doakan untuk saya dan saya mohon kemaafan kalau ada salah dan silap.
Sep 21, 2010
Sirah Muzikal 2010
Sep 8, 2010
Eid Mubarak!
Aug 13, 2010
Kisah Orang Muda.
Bila kita berbicara tentang umur, ia mungkin menjadi satu subjek yang sensitif bagi sesetengah orang. Bila kita menyebut orang muda, kita akan merasa mereka adalah golongan yang masih lagi muda dan seharusnya menghabisi masa mudanya dengan keseronokan dan hiburan. Bila kita sebut remaja belasan tahun, kanak-kanak, budak hingusan, pasti kita akan mengambarkan golongan yang tiada apa yang mereka boleh sumbangkan dalam konteks yang besar.
Golongan dewasa merasakan golongan muda tidak perlu sibuk dengan urusan orang dewasa hingga kadang-kadang mereka menolak mentah-mentah sebarang kemahiran, idea dan cadangan yang baik dari golongan muda. Golongan dewasa merasakan golongan muda ini masih terlalu mentah untuk memberi sebarang pendapat, untuk memikirkan hal-hal yang besar hanya kerana mereka dipanggil orang muda, remaja belasan tahun, kanak-kanak, atau budak-budak. Kadang-kadang, mungkin ada benarnya juga.
Golongan muda pula akhirnya merasakan mereka ini masih muda. Hingga sudah berumur belasan tahun, sudah mencapai umur baligh, malah hingga yang sudah berumur macam orang dewasa juga merasa masih muda. Iya lah, menjadi orang muda itu kan seronok. Tidak perlu memikirkan hal-hal yang kompleks dan sukar. Nak buat kerja besar, kerja orang dewasa sikit sudah merasa tidak pandai atau susah. Katanya, ini kerja orang besar. Tapi, mungkin ada benarnya juga.
Kalau kita baca sirah, kita akan mendapati bagaimana golongan muda dan dewasa ini mampu berinteraksi dengan baik hinggakan ia mampu menghasilkan satu suasana yang mampu melahirkan ramai golongan muda yang kalau kita dengar dan bandingkan dengan remaja dan pemuda masa kini amat jauh sekali.
Meskipun mereka digelar pemuda dek kerana umur yang masih muda namun jiwa, tekad dan semangat mereka melebihi jangkauan realiti pemuda yang kita kenali kini. Hati mereka teguh kerana kekuatan dalaman yang mereka bina sedari kecil. Mereka ditarbiyah sejak mula mengenal erti dunia. Golongan tua memandang mereka sesekali bukan sebagai budak hingusan, tetapi seorang pemuda sejati yang mampu mengibar bendera kemenangan buat agama.
Di sini saya akan kongsi sedikit beberapa kisah orang muda, yang kalau ikut zaman kini mereka adalah budak-budak yang masih lagi tidak tahu hujung pangkal dunia ini:
1. Zubair Al-Awwam (15 tahun)
Tatkala hiruk-pikuk kota Mekah mengenai berita Muhammad menjadi Rasul, orang muda ini adalah salah seorang yang mengimani berita tersebut. Sedangkan umurnya baru 15 tahun, kalau zaman kita umur takat ini masih lagi sedang sibuk dengan cintan-cintun monyet yang tak ke mana, masih lagi malas-malas belajar, baru nak mencari identiti sendiri. Tetapi peribadi muda ini mampu menunjukkan nilai yang sebaliknya mengikut kadar umur yang sepatutnya.
2. Thalhah bin Ubaidillah (16 tahun)
Pernah tak kita mendengar remaja belasan tahun yang suka menderma? Mungkin tidak, bahkan kebiasaannya golongan ini lebih suka mementingkan diri sendiri, suka menyimpan duit untuk membeli hanset yang baru, lebih suka menyimpan wang saku di kocek untuk buat belanja besar. Namun hal ini berlaku sebaliknya terhadap peribadi muda ini. Beliau adalah antara sahabat yang paling suka menderma dan berinfak di jalan Allah sehingga Rasulullah menggelarnya “Thalhah Al-Khair”. Kalau nak diikutkan, remaja ini baru berusia 16 tahun.
3. Sa’ad bin Abi Waqqash (17 tahun)
Pemuda yang baru berusia 17 tahun ini sangat hebat diceritakan dalam sirah. Meskipun mengikut tahap remaja sekarang, pemuda ini sedang sibuk dengan peperiksaan SPM. Baru hendak mencari aliran yang sesuai untuknya pada masa hadapan. Namun begitu, pemuda ini mampu berfikir lebih jauh dari itu. Pemuda ini sudah mampu melihat syurga di hadapannya. Pemuda inilah antara sahabat yang pertama kali mengalirkan darah dalam Islam. Malah, doa pemuda ini sangat mudah dimakbulkan Allah serta beliau sangat mahir memanah. Apakah ada sosok remaja 17 tahun zaman kini yang mampu menjadi sebegitu?
4. Arqam bin Abi Arqam Al-Makhzumi (16 tahun)
Kalau kita tanya kepada remaja 16 tahun, apakah dia sanggup untuk mengeluarkan RM 10 untuk sumbangan program remaja di surau? Agak-agak apakah jawapannya. Mungkin begitu sukar bagi remaja tersebut untuk memberikan duit tersebut, betul? Saya anggap anda bersetuju dengan saya. Tapi, kita lihat bagaimana pula peribadi muda Ibnu Arqam ini. Beliau merupakan pemuda yang berasal dari Bani Makhzum, yakni sebuah kabilah yang sering bergaduh dan bersaing dengan Bani Hasyim (Kabilah Rasulullah). Namun, pemuda ini sanggup menjadikan rumahnya sebagai markas kepada dakwah Rasulullah walaupun menghadapi banyak risiko. Bagaimana pemuda 16 tahun ini sanggup menggadai nyawa untuk agama tercinta ini sedangkan remaja 16 tahun zaman sekarang nak keluarkan RM 10 pun susah walaupun duit itu untuk kebaikan dirinya sendiri.
5. Ali bin Abi Thalib (10 tahun)
Kita mungkin merasakan budak umur 10 tahun adalah budak hingusan yang tidak boleh diharap. Tapi, bagaimana pula kisah peribadi kecil ini? Meskipun nilai zahir umur kanak-kanak ini sangat kecil, namun kita semua maklum bagaimana peribadi ini membawa satu nilaian dan kesan yang sangat besar kepada dakwah Rasulullah. Kita lihat bagaimana anak muda 10 tahun ini mampu memahami tahapan dakwah secara rahsia, mampu pergi ke rumah Arqam bin Abi Arqam secara rahsia, mampu solat secara sembunyi, mampu sembunyi-sembunyi membaca Al-Quran supaya tidak dilihat Musyrikin. Masuk akalkah untuk budak 10 tahun melakukan semua ini? Malah, anak muda ini sanggup menggadai nyawa menggantikan tempat tidur rasulullah sewaktu peristiwa hijrah Nabi ke Madinah. Cuba kita fikirkan sejenak!
6. Zaid bin Thabit (13 tahun)
Kisah kali ini agak menarik untuk remaja 13 tahun. Agak-agaknya kalau kita tanyakan kepada remaja 13 tahun tentang impiannya pada masa hadapan, pasti jawapan mereka samada tidak ada impian lagi, atau hendak jadi penyanyi, atau hendak menjadi doktor, dsb. Tapi, saudara tahu apa impian pemuda 13 tahun ini? Saat terdengar pasukan Islam bersiap ke Badar, anak muda ini mengimpikan untuk turut serta dalam peperangan tersebut, satu perjuangan dengan darah. Tapi, anda tahu anak muda ini tubuhnya sangat kecil bahkan diceritakan ketika beliau berazam untuk turut serta dalam peperangan tersebut, anak muda ini mengheret pedangnya yang lebih panjang dari tubuhnya yang kecil. Namun, azamnya untuk turut serta sangat besar dan membara. Bayangkanlah, seorang pelajar Form 1 berazam untuk mati syahid, mustahil? Saudara fikir-fikirlah sendiri. Tetapi, agak sedih kerana Rasulullah telah menolak permintaan pemuda ini untuk turut serta dalam peperangan tersebut atas sebab tubuhnya yang kecil.
Kemudian, adakah pemuda ini menghabisi sebegitu sahaja? Adakah pemuda ini bersorak kegembiraan kerana tidak perlu turut serta dalam peperangan? Sesekali tidak. Pemuda ini akhirnya kembali kepada ibunya, Nawwar binti Malik dalam keadaan penuh kesedihan. Kalau zaman sekarang adalah sebaliknya, para remaja kegembiraan kerana tidak disenaraikan dalam PLKN atau pasukan beruniform. Sebabnya, takut sakitlah, takut penatlah, takut luka sana, luka sini, takut kena pacat, takut muka hitam lah, dan macam-macam lagi alasan yang remeh temeh.
Bagi pemuda ini, impiannya mesti terapai. Lantas, anak muda ini mengadukan hal ini kepada ibunya. Ibunya yang bijak sesekali tidak menghalang niat mulia anaknya itu, bahkan ia mencadangkan agar beliau berjihad melalui lisan dan mata pena.
Dirakamkan kata-kata ibunya,
“ Kamu harus tekun belajar membaca dan menulis (satu kegiatan yang jarang sekali dilakukan ketika itu) serta menghafal Al-Quran dengan baik! Setelah itu berangkat menghadap Rasulullah untuk mengetahui, bagaimana cara menggunakan potensi dan kemampuan yang kita miliki untuk berkhidmat kepada Islam dan Kaum Muslimin!”
Apakah hasilnya?
Tahukan anda bahwa dengan segala kemahiran yang ada oleh pemuda ini. Akhirnya, Rasululllah telah mengarahkan supaya beliau belajar bahasa Ibrani (bahasa terpenting waktu itu), bahasa Suryani (bahasa yang popular), menjadi juru bicara, perunding bagi umat Islam, malah diplih sebagai salah seorang dari penulis wahyu tatkala umurnya masih 13 tahun. Allahuakbar!
Hebat bukan bagi kisah remaja 13 tahun ini?
7. Muadz bin Amr bin Jamuh (14 tahun) & Mu’awwidz bin Afra’ (13 tahun)
Bagaimana pula kisah 2 orang pemuda ini, lain pula dengan kisah Zaid, mereka berdua berkesempatan untuk turut serta dalam peperangan Badar atas faktor tubuh mereka yang agak besar. Mereka berdua adalah dari golongan Anshar dan berazam untuk membunuh Abu Jahal kerana mereka mendengar bahawa Abu Jahal seringkali mencaci Rasulullah. Oleh itu, mereka yang tidak pernah melihat Abu Jahal sebelum ini, bertanya kepada orang sekeliling tentang perihal Abu Jahal. Ketika perang sedang berkecamuk, Saidina Abdur Rahman bin Auf menunjukkan kepada mereka akan Abu Jahal yang saat itu dikawal rapi oleh para Musyrikin. Tapi, di atas keazaman yang kuat mereka tetap berusaha untuk mencapai Abu Jahal. Malah antara Muadz dan Muawwidz sendiri, mereka bersaing untuk membunuh Abu Jahal. Akhirnya, Muadz sampai dahulu kepada Abu Jahal, dan peluang tersebut beliau gunakan dengan sebaiknya. Muadz terus melibas betis Abu Jahal hingga putus serta merta. Namun, apakah pengorbanannya? Beliau terpaksa membayar dengan satu libasan pedang oleh Ikrimah (anak Abu Jahal yang ketika itu masih belum memeluk Islam) hingga hampir putus lengan itu dan hanya tergantung-gantung di kulitnya sahaja. Subhanallah.
Namun, adakah ia menangis? Sesekali tidak. Namun apa yang dikisahkan beliau ketika saat itu,
“Pada hari itu saya benar-benar berperang seharian penuh. Tangan saya yang hampir putus itu hanya bergelantungan di belakang. Dan ketika ia menyulitkan saya, saya pun menginjaknya dengan kaki, lalu saya menariknya hingga tangan saya terputus.”
MashaAllah, apakah ada remaja 14 tahun yang sanggup berbuat demikian? Muadz sanggup memisahkan tangan dari jasadnya agar bisa bebas mengobarkan jihad buat agama.
Bagaimana pula halnya Mu’awwidz, kata Muadz,
“Lalu Mu’awwidz bin Afra melintas di hadapan Abu Jahal yang sedang terluka parah, kemudian ia pun menebasnya dengan pedang. Kemudian membiarkannya dalam keadaan tersengal-sengal dengan nafas terakhirnya.”
Dan akhirnya Mu’awwidz mendapat bayaran mati syahid atas usahanya itu. Subhanallah. Itulah kisah pemuda 13 dan 14 tahun yang jarang sekali kita dengar.
8. Usamah bin Zaid
Seperti sedia maklum, pemuda ini adalah yang terkenal dengan keperibadian pemudanya dalam sejarah Islam. Namun, kisah pemuda ini bukanlah bermula ketika beliau memimpin tentera Islam ketika saat wafatnya Rasulullah. Antara kisah-kisah menarik:
12 tahun – Menjadi salah seorang yang dirujuk Rasulullah ketika Baginda ingin meminta pendapat tentang permasalahan genting iaitu ketika 5 Hijrah berlaku peristiwa Hadithul Ifki (peristiwa Saidatina Aisyah dituduh melakukan perbuatan tercela) sedangkan tiada wahyu yang turun bagi menjawab permasalahan tersebut dalam tempoh yang agak lama.
14 tahun – Banyak mengikuti sariyah dan ghazwah, antaranya penaklukan kota Mekah, Perang Hunain, dll.
15 tahun – Sering menjadi perantara para sahabat dengan Rasulullah dalam hal-hal yang para sahabat segan untuk membicarakan secara langsung kepada Rasulullah.
18 tahun – Dilantik oleh Rasulullah menjadi komandan bala tentera Muslimin untuk menentang bangsa Romawi, bahkan beliau bukan sekadar memimpin golongan anak-anak muda atau orang yang tidak biasa berperang. Tetapi, di belakang beliau ramai lagi tokoh-tokoh yang lebih berpengalaman dan berwibawa seperti Abu Ubaidah bin Jarrah, Zubair bin Awwam, Khalid bin Walid, dan ramai lagi. Sedangkan umur beliau belum lagi mencecah 20-an. Cuba bayangkan, negara kita dipimpin oleh seorang budak lepasan SPM bersama-sama di belakangnya Najib, Anwar Ibrahim, Nik Aziz, dan ramai lagi tokoh-tokoh di Malaysia ini, mustahil kah?
9. Rafi’ bin Khadij & Samurah bin Jundub (kedua-duanya belum baligh)
Kisah kedua-dua pemuda ini pula bermula ketika Perang Uhud, yang mana pada awalnya mereka berdua dikeluarkan dari barisan tentera kerana belum baligh. Namun, tatkala Rasulullah membenarkan semula penyertaan Rafi’ dalam peperangan kerana diberitakan bahwa Rafi’ adalah seorang pemanah yang cekap, Samurah menangis lalu mengadu kepada bapa tirinya akan hal tersebut. Akhirnya, hal itu diketahui Rasulullah dan kemudiannya Rasulullah mengarahkan agar mereka berdua beradu tenaga. Dan, akhirnya Samurah dapat mengalahkan sehinggalah akhirnya Rasulullah membenarkan kedua-duanya turut serta dalam peperangan.
Kita lihat bagaimana pemuda ketika itu sangat berkobar-kobar untuk menyertai barisan jihad walaupun umur masih muda dan telah pun ditolak penyertaan dari barisan. Subhanallah.
Sebenarnya masih banyak lagi kisah-kisah para pemuda yang kita kira umur mereka masih lagi muda namun semangat perjuangan mereka untuk menegakkan agama ini sangat besar. Malah, kadang-kadang melebihi dari sumbangan yang mampu dilakukan oleh orang yang lebih dewasa. Tidak sempat untuk saya ceritakan semuanya di sini.
Untuk kita mengenal dan menjiwai lagi semangat anak-anak muda, di sini saya sertakan nama-nama para sahabat yang muda-muda; Mus’ab bin Umair, Samurah bin Jundub, Ja’afar bin Abi Thalib, As’ad bin Zurarah, Muadz bin Jabal, Abdullah bin Abbas, Abdullah bin Amr bin Ash, Bara’ bin Azib, Zaid bin Arqam, Fathimah bt Muhammad, Aisyah bt Abu Bakar dan banyak lagi.
Dan jika saudara inginkan lebih lagi, boleh lah saudara membaca kisah para pemuda setelah dari generasi sahabat seperti; Abu Idris A-Khaulani, Muhammad Al-Qasim, Imam Al-Bukhari, Imam Nawawi, Imam Syafie, Shalahuddin Al-Ayubi, Sultan Quthuz, Sultan Muhammad Al-Fateh, Abdurrahman Ad-Dakhil, Abdurrahman An-Nashir dan masih banyak lagi.
Antara pengajaran yang boleh diambil:
1. Pentarbiyahan seorang manusia adalah bermula dari zaman kanak-kanaknya, hingga ia mampu membina peribadi yang mampu mengemban usaha dakwah walaupun dalam konteks umur yang masih muda.
2. Perlulah setiap dari kita memiliki sebarang kemahiran yang mampu disumbangkan kepada dakwah. Tiada alasan bagi sesiapa pun untuk mengelak dalam memberi sebarang peranan kepada dakwah kerana setiap manusia itu Allah telah mengurniakannya sesuatu kemahiran dan kebolehan.
3. Di sini pentingnya golongan Murabbi (pendidik) dalam menangani hal-hal yang berkaitan dengan keberlangsungan dakwah seperti yang dilakukan oleh ibu Zaid. Dalam hal ini, perlunya setiap da’ie memahami dan mengenal setiap potensi dan kebolehan mad’u mereka supaya mereka dapat memberi sumbangan kepada dakwah secara optimum.
4. Pentingnya untuk golongan dewasa turut mengambil pendapat dan cadangan golongan muda yang dipercayai sebagai satu langkah mendidik dan menghargai kemampuan mereka dalam berfikir dan menilai tentang sesuatu perkara.
Kata Imam Hasan Al-Banna tentang pemuda,
“Sesuatu gagasan akan berjaya jika wujud keyakinan yang kuat dengan gagasan yang didokong, wujudnya keikhlasan dalam mendokongnya, semangat yang sentiasa membara bersamanya serta sedia berkorban dan berusaha untuk merealisasikannya. Keempat-empat asas ini iaitu keimanan, keikhlasan, semangat dan usaha adalah sifat-sifat istimewa para pemuda. Sebabnya, asas keimanan ialah hati yang bersih, asas keihklasan ialah jiwa yang suci, asas semangat ialah keinginan yang kuat, asas usaha ialah keazaman yang membara. Semua sifat ini hanya ada pada pemuda. Atas dasar ini dalam mana-mana bangsa para pemuda menjadi tonggak kepada kebangkitan mereka. Setiap kebangkitan ada rahsia kekuatannya yang tersendiri. Setiap gagasan ada pendokong panjinya.”
Sekadar ini sahaja apa yang saya mampu kongsikan bersama saudara sekalian. Saya mendoakan agar golongan muda di Malaysia ini mampu menjadi dan mencontohi bagaimana generasi sahabat yang muda dahulu lakukan. insyaAllah.
Waallhu’alam.
Rujukan:
1. Sirah Nabawiyah Ar-Rahik Makhtum, Syaikh Shafiyurrahman Al-Mubarakfuri.
2. Menjadi Pemuda Peka Zaman, Dr Raghib As-Sirjani.
3. Keluasan Islam, Husam Hamidah.
Jul 29, 2010
Tetamu Istimewa.
Di suatu petang yang dingin. Hujan renyai-renyai turun membasahi bumi. Aku baru sahaja lepas pulang dari kolej. Pulang dengan penuh keletihan bermujahadah di dalam dewan kuliah. Petang itu aku cuma habiskan dengan tidur yang enak walaupun perut terasa agak lapar.
Kemudian, kendengaran bunyi motor di luar rumah. Hon motor yang dibunyikan menyentak tidur ayam-ayam ku. Aku menjenguk ke luar. Aku mendapati ada posmen yang datang sambil bosan menunggu aku menyambut kedatangannya. Aku menjadi hairan. Lantas, aku keluar rumah dan menuju ke arah posmen dengan penuh kebingungan.
“Ada apa pak cik?” tanya ku.
“Surat lah, apa lagi..” pak cik posmen menjawab selamba.
“Penting sangat ke pak cik sampai kena hon-hon begitu?” ku menyambung persoalan.
“Mestilah penting, ada surat istimewa.” terang pak cik posmen sambil menyerahkan surat tersebut.
Aku yang masih kebingungan sekadar tersenyum tanda gembira ada surat istimewa yang sampai.
“Terima kasih pak cik.” kata ku.
“Sama-sama.” jawab posmen tadi.
Kemudian si posmen beredar dari rumah. Aku segera ke dalam rumah. Hati rasa tertanya-tanya apa yang istimewa surat tersebut. Tidak sabar rasanya untuk membuka dan membacanya.
Agak-agak nya apalah kandungan surat tersebut ya?
Saat aku membuka sampul surat tersebut, ku dapati ada satu kad berwarna kuning keemasan. Gaya kad tersebut seakan mahal dan hanya mampu dimiliki oleh orang kenamaan sahaja.
Lantas aku membaca kad tersebut,
“ Kepada tuan hamba yang membaca kad ini, tuan hamba sungguh bertuah. Kehidupan tuan hamba akan menjadi lebih bahagia selepas ini. Patik adalah wakil kepada Yang Di Pertuan Agung dengan sukacitanya ingin memaklumkan bahawa baginda ingin sekali berlabuh semalam di rumah tuan hamba. Diharapkan agar tuan hamba dapat bersedia dengan pelawaan ini. Baginda akan singgah di rumah tuan hamba dalam tempoh 2 minggu dari tarikh tuan hamba menerima surat ini.”
Aku terkejut dan terkesima membaca surat ini. Yang Di Pertuan Agung hendak datang bermalam di rumah aku? Di kepala mula memikirkan pelbagai perkara.
Ah! Bilik mana hendak dijadikan kamar baginda? Bilik semua perlu dibersihkan dan ditukar dengan set-set cadar dan langsir yang mahal. Rumah juga perlu dihias lagi supaya kedatangan baginda dapat diterima dengan baik. Halaman rumah lagi, pokok-pokok perlu dicantas dan rumput-rumput perlu dicabut. Huh, banyak perkara yang perlu dilakukan.
*************
Saya ingin mengajak saudara sekalian supaya kita sama-sama cuba meletakkan diri kita di tempat ‘aku’. Apakah agak-agaknya yang saudara sekalian akan lakukan dan persiapkan? Agaknya sempatkah saudara semua bersiap untuk menyambut pelawaan tersebut? Mungkin pelbagai jawapan dan karenah yang saudara akan timbulkan. Apa pun, pastiya ada sedikit perubahan yang saudara akan lakukan.
Apabila seorang tetamu istimewa, seperti Yang Di Pertuan Agung tadi, ingin datang ke rumah kita sudah tentu kita akan membuat persiapan dengan penuh teliti supaya kedatangan tersebut menjadi sesuatu yang benar-benar istimewa. Tetapi, hal ini mungkin menjadi sesuatu yang fantasi.
Namun, kita mungkin terlupa dalam masa beberapa hari lagi ada tetamu istimewa yang benar-benar akan datang ke rumah kita. Siapa? Sudah tentunya tetamu Ramadhan Al-Mubarak Yang Mulia. Adat orang Arab ada menyebut, beberapa minggu sebelum Ramadhan tiba ia ibarat sedang berdiri di depan pintu rumah kita sambil mengunggu untuk mengetuk rumah yang kita diami. Cuma si ahli-ahli rumah yang tidak menyedari kelibat si Ramadhan.
Ingatlah, tetamu istimewa ini bukan calang-calang. Ia membawa maghfirah, rahmah dan nikmat perlepasan dari azab api neraka. Ia membawa satu malam yang menyamai seribu bulan. Ia membawa biah hasanah yang datang dari Tuhan Sekalian Alam. Ia membawa ganjaran pahala yang berlipat ganda. Sungguh istimewa tetamu ini. Apakah kita masih tidak menyedari?
Bagaimana pula persiapan kita menyambut tetamu ini? Inginkah kita mengecewakan kedatangannya? Sudah tentu tidak dan sesekali tidak. Adakah kita ingin menyambut kedatangannya dengan kotoran-kotoran maksiat dan jahiliyah yang ada dalam rumah dan diri kita? Adakah kita ingin sambut dengan bacaan quran yang masih lagi kurang bertajwid dan kurang fasih? Adakah kita ingin sambut dengan masih lemah dan longlainya kita ketika berpuasa? Adakah kita ingin sambut dengan banyak nya perkara lagha yang kita lakukan seharian? Adakah kita ingin sambut dengan subuh gajah yang sering kita amalkan, tanpa sahur, tanpa bangun di malam hari? Adakah kita ingin menyambut Ramadhan dengan begitu? Tidak, sungguh rugi sekiranya begitu.
Maka seharusnya kita bersedia dari sekarang. Apa yang kurang, kita tambahkan. Apa yang lemah, kita perbaiki. Apa-apa yang perlu kita sediakan, kita segera persiapkan. Jangan menangguh lagi. Sebagaimana kita merancang yang terbaik untuk menyambut kedatangan Yang Di Pertuan Agung, maka seharusnya dan semestinya kita perlu merancang yang lebih terbaik untuk menyambut kedatangan Ramadhan Al-Mubarak.
Semoga berbaki beberapa hari sebelum tibanya Ramadhan, kita sudah cuba persiapkan kekuatan hati, mental dan fizikal. Kita cuba mencapai tahap ketakwaan sebagaimana objektif Ramadhan untuk menjadikan diri ini menjadi orang yang bertakwa.
*************
“Allahumma bariklana fi Sya’ban wa balighna Ramadhan.” kata aku di akhir kata surat tersebut. Aku menutup surat dan terus membuat persiapan yang terbaik. InshaAllah.