Jul 17, 2010

Nafas Yang Baru



Alhamdulillah, dapat lagi kita bertemu setelah sekian lama saya tidak menulis. Walau di benak banyak perkara dan isu yang ingin dikupas dan dikongsi bersama, namun semuanya tidak dapat saya tuliskan di sini. Apa pun, keperluan kepada medan penulisan ini amatlah vital dan ia bukanlah sekadar pada tulisan dan tajuknya sahaja. Bahkan, ia lebih dari itu. Menulis ini mampu menceritakan apa yang tak termampu diluahkan dengan kata-kata, apa yang digambarkan dengan suasana dan foto-foto.



Ia mampu menyampaikan sesuatu yang hanya mampu di kongsi dengan tulisan dan bacaan sahaja. Pada sebuah penulisan, terkandungnya corak pemikiran, seni menulis dan menyampaikan, keindahan gaya bahasa, dan di sinilah terkandungnya isi hati dan perasaan. Secara jujurnya, inilah antara elemen-elemen yang saya terapkan dalam penulisan saya. Maaflah bagi yang kurang setuju.



Langkahan yang baru

Teringat dulu-dulu, sejak pertama kali menjejakkan kaki ke alam persekolahan. Bermulanya di Tadika Amal Taman Keramat, kemudian ke Tadika Ummu Ain. Mungkin waktu itu, tak terasa sangat alam persekolahan ini. Setelah 2 tahun, Tahun 1 saya bermula di Sekolah Menengah Islam Al-Amin, Kuala Lumpur sehingga Tahun 6. Walau saya bukanlah dalam kalangan mereka-mereka yang cerdik pandai, tetapi syukur saya mendapat keputusan yang agak cemerlang dalam UPSR.



Kemudian, saya bercita-cita untuk menghafaz Al-Quran. Alhamdulillah, ayah dan ibu menghantar saya ke Maahad Tahfiz Al-Quran Hira’, Jeram. Sekali lagi, saya sangat bersyukur kerana berjaya menamatkan 30 juzuk Al-Quran dalam tempoh 2 tahun. Di maahad inilah saya pertama kali belajar hidup berdikari. Kemudian saya sambung dalam peringkat menengah di Sekolah Menengah Islam Hira’, Jeram. Sebuah sekolah yang banyak mengajar saya erti kehidupan ini dari kaca mata yang sebenar. Walau sekolahnya amat daif (lagi-lagi zaman awalnya), tetapi kedaifan kami di sini lah yang mengenalkan kami erti kesusahan dan perjuangan. Kerna kisah hidup manusia berjaya pasti adanya kisah kesusahan, kepayahan, dan kesengsaraan. Saya bersyukur dapat belajar di sini. Di sinilah, saya kumpulkan dan cari mutiara-mutiara dakwah dan tarbiyah.



Setelah 5 tahun di peringkat menengah dan Alhamdulillah berjaya menamatkan SPM dengan keputusan yang cemerlang, saya melanjutkan pelajaran dalam satu program persediaan di Sunway University College di bawah tajaan MARA. Bagi saya, episod kali ini agak berbeza. Suasana baru, pertama kali belajar di bawah satu institut yang tidak bertunjangkan Islam. Namun, saya cuba tempuh dengan segala bekalan yang saya perolehi. Selama setahun saya di sini, apa yang saya mampu ungkapkan ialah ada sesetengah perkara yang kita perlu belajar dari orang-orang tertentu, maka di sini perlunya ada pengorbanan keegoan yang jarang sekali kita praktikkan dalam kehidupan.



Kini, kakiku telah melangkah ke menara gading yang sering dicita-citakan oleh setiap orang dari kita. Alhamdulillah, saya kini sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan di Monash University, Sunway Campus. Walau impian saya sememangnya ingin belajar di perantauan, namun tiada rezeki untuk kali ini. Saya bersedia mengambil risiko dari setiap keputusan yang saya ambil. Dan ingatlah, pada bumi itu tidak sesekali ia menyucikan, bahkan amal kita lah yang menentukan. Walau dimana sahaja kita berada, jadilah seorang manusia yang ‘independent’ dan mampu mengorak langkah dengan penuh jitu dan padu. Juga, saya ingin menyampaikan salam kepada semua teman-teman seperjuangan saya yang akan terbang ke Mesir, Jordan dan mana-mana sahaja. Capailah citamu yang setinggi langit, semoga kita bertemu lagi andai tidak di bumi Ilahi, InsyaAllah di Syurga abadi.



Macam anak dara?

Kata seorang murabbi saya, “ Erti seseorang yang benar-benar telah mengikuti tarbiyah, maka segala aspek kehidupannya akan tercermin kehidupan Islami. Kalau dia ada sebuah rumah, maka rumahnya adalah rumah Islam. Kalau dia belajar, maka belajarnya adalah cara Islam. Kalau dia sudah berkeluarga, maka keluarganya adalah keluarga Islam.”



Saya baru sahaja menyewa sebuah rumah di PJS 10 bersama beberapa orang teman. Sebagai orang yang mengikut tarbiyah, rumah itu kami cuba jaga dengan baik dan kemas. Sehingga suatu hari Auntie Zurhiati, tuan rumah kami sempat berceloteh dengan kami, katanya kami ini macam anak dara. Mana tidaknya, rumah ‘bujang’ kami tak macam rumah bujang yang kebiasaan orang fahami. Asal rumah bujang, mesti kena bersepah, mesti kotor, begitu dan begini.



Mungkin nampak pada kebersihan sebuah rumah dan terjaganya ia dengan baik adanya seorang anak gadis yang menjaganya (walau bagi saya zaman dulu bolehlah), namun itulah hakikatnya masyarakat kini. Dari sinilah, saya cuba mengubah persepsi masyarakat bahawa menjaga kebersihan rumah itu adalah satu tuntutan Islam, bukannya untuk anak gadis sahaja.



PJS 10, sebuah kawasan yang agak padat dengan penduduk berbilang kaum (nisbah Melayu: Cina : India, 3:3:3). Kawasan yang penuh dengan anjing-anjing belaan. Masyarakat melayu di sini mengamalkan hidup berjiran dengan baik dan bermuhibbah, mungkin disebabkan bilangannya yang agak minoriti. Walau kami baru seminggu di sini, kami telah dijemput ke beberapa majlis tahlil dan kenduri. Meski rumah kami berada dalam kawasan taraf tinggi, tetapi kami sering bersama kejiranan yang berada dekat dengan kawasan masjid yang bertaraf lebih rendah. Masjidnya pula banyak diimarahkan oleh golongan tua (sekitar 50-an)dan jarang-jarang sekali nampak golongan muda di sini. Jamaah di sini terdiri dari kalangan melayu dan india muslim. Kehadiran kami di sini juga sering disambut baik oleh beberapa orang pakcik yang ada. Kami sebagai orang muda merasa agak bebesar hati.



Impian hari ini, Realiti masa hadapan

Masa akan sentiasa berlalu dan berputar, malam dan siang akan terus silih berganti, saat akan terus bergerak dari detik ke detik, umur akan meningkat, sedang ajal akan menghampiri. Persoalannya, apa yang telah kita sumbangkan untuk diri kita, agama dan orang lain?



Jangan lihat pada apa yang kita tiada, tetapi pandanglah pada apa yang kita ada. Aturlah kehidupan ini hingga saat kematian mu. Pastikan diri ini ditarbiyah walau apa jua keadaan dan situasi kita, dan ingatlah dalam University of Tarbiyah, ia tiada erti ‘graduate’ atau sudah tamat belajar kerana “At-tarbiyah madal hayah, tarbiyah sepanjang hayat”.



Walau entri kali ini agak berbaur emosi dan perasaan malah lebih bersifat peribadi namun pada setiap yang kita lalui itu perlulah kita catitkan dan perhatikan hikmah dan pengajaran darinya. Dan saya cuba kongsikan bersama. Harap saudara semua dapat mengambil sedikit ikitibar. Salam perjuangan dari saya dan doakan agar saya berjaya di dunia dan akhirat, InsyaAllah.


Jun 12, 2010

Jalan - Jalan Remaja 2 (JJR2).




Jalan - Jalan Remaja 2

16 Jun 2010 | 8am - 5pm

Surau At-Taqwa, Seksyen 7, S. Alam

RM 10 sahaja!

remaja lelaki: 11 - 14 tahun

hubungi: 019-6298653 (en. Siddiq Fauzan)


Anjuran bersama:

KRIM (Kelab Remaja ISMA)

ISMA SAK (Ikatan Muslimin Malaysia caw. S.Alam Klang)

MPP ZON 3

Persatuan Mawaddah Malaysia

May 22, 2010

Rintihan Hati Kecil.




Setiap hari, terpampang di dada-dada akhbar berita-berita yang semakin teruk. Kes-kes pembunuhan yang semakin menjadi-jadi, masalah rumahtangga yang semakin rumit, jenayah yang semakin pelik berlaku, kes dadah yang tidak pernah selesai. Ditambah lagi dengan kes masalah remaja yang kian parah, buang anak, khalwat, penzinaan berleluasa malah melibatkan pelajar sekolah, pencintaan yang buta sehingga sanggup lari dari rumah. Semakin saya selak helaian akhbar, semakin runsing hati ini.



Gelaja pembuangan bayi yang semakin menjadi-jadi dari hari ke hari


Bila pemudanya begitu, yang di peringkat yang memimpin (yang sepatutnya menunjukkan contoh yang baik kepada generasi penyambung ini) pula penuh dengan masalah seperti rasuah, sibuk dengan perkara-perkara remeh, masalah ekonomi yang semakin runcing, masalah-masalah perbadi. Hinggakan generasi pemuda ini diabai masa depan mereka.


Orang yang ada agama pula, diperkotak-katikkan, diperguna dan ditipu. Malah, mereka sering dikritik dari segi sistem pengurusan yang sangat lemah. Ditambah lagi dengan masalah aqidah, gejala murtad, dan ajaran sesat dalam kalangan orang Islam. Belum lagi cerita dari ruangan berita dunia yang entah di mana silapnya, di Palestin, Thailand, London, Korea, Amerika dan banyak lagi.


Tapi, bila buka lagi ruangan-ruangan dalam akhbar ini, berita hiburan juga banyak malah kadang-kadang melebihi berita-berita yang realiti. Gosip-gosip murahan, kisah-kisah mengarut antara artis, muzik dan hiburan diagung-agungkan. Terkadang saya terfikir, apa sebenarnya yang ingin dibawa oleh media masa kini, dalam masa yang sama mereka hebahkan tentang gejala sosial yang berlaku dan mereka juga yang sebarkan budaya hiburan melampau ini. Apakah disitu ada makna di sebaliknya?

****

Tidak salah kalau saya katakan inilah mungkin sedikit rintihan hati seorang pemuda yang ingin melihat Islam yang dia anuti mampu memimpin masyarakat ini suatu hari nanti. Inginkan zaman Islam kembali gemilang dan harmoni sepertimana ianya gemilang suatu ketika dahulu. Inginkan dunia ini kembali aman dibawah pemerintahan Islam yang sempurna. Inginkan perubahan pada muka dunia ini. Dan saya yakin, inilah juga impian-impian mereka yang benar-benar memperjuangkan agama ini. Tapi, bagaimana?


“Banyak surat sampai kepadaku sama ada dari Morocco, Jawa, Mesir, Syria, Iraq dan negara kamu (Palestin). Penulis-penulisnya mencadangkan satu Muktamar Islam, atau melantik seorang khalifah atau perkara-perkara yang seumpama dengannya. Namun seperti biasa aku menjawab:

“ Kita WAJIB memulakan usaha Islam ini dari bawah, iaitu melalui TARBIYAH INDIVIDU. Apalah gunanya mengadakan muktamar yang menghimpunkan orang-orang yang lemah, tidak mempunyai keinginan sendiri dan tidak mampu melaksanakan satu keputusan atau resolusi. Apa faedahnya berbuat demikian? Adakah kamu mahu mengumpulkan angka-angka kosong?” (Syakib Arsalan)



Inilah formula kebangkitan dan perubahan yang jelas. Mungkin kita merasakan ia satu formula yang panjang. Tapi, bagi saya inilah yang paling tepat dan berkesan. Mungkin ia mengambil masa, dan saya sendiri tidak akan dapat merasa saat kemenangan itu. Tapi, sekurang-kurangnya saya dapat menyumbang ke arahnya. Dan, nilai perjuangan sebelum kemenangan tidak sama dengan selepas kemenangan, dan yakinlah bahawa kemenangan itu pasti.


Dan sebagai seorang yang mengambil formula ini, seharusnya kita bersedia dari setiap aspek kerana sudah pasti ianya satu usaha yang sangat sukar. Seperti mana kata Sheikh Fathi Yakan, “Dakwah adalah ‘hadamun’ (meruntuh) dan ‘bina’un’ (membina).” Dan maudu’ (target) dakwah kita adalah manusia, dan manusia itu mempunyai hati, nafsu dan perasaan. Juga dakwah itu ‘At-tahliah qabla at-takhliah’ (buang sebelum isi).



Untuk membina sebuah rumah, perlukan perancangan yang teliti.

Apatah lagi untuk membina seorang rijal.


Inilah konsep dakwah yang saya faham membuang segala karat-karat jahilyah dalam diri, menyucikan hati dari sifat-sifat mazmumah dan maksiat,dan kemudian mengisi hati-hati manusia dengan nilai-nilai kemanusiaan, nilai seorang rijal, nilai seorang pejuang dan pendakwah. Juga, membina seorang insan dari seorang ‘mu’min abid’ (mukmin yang cintakan ibadah) kepada ‘da’ie mutaharrik’ (daie yang proaktif).


Sehingga impian Al-Faruq, yang inginkan bumi ini dipenuhi dengan rijal-rijal seperti Abu Ubaidah, Mu’adz Ibnu Jabal, dan Salim (hamba Abu Huzaifah), tercapai. Malah lebih dari itu, rijal-rijal ini akan bersama membina baitul muslim, sehingga melahirkan satu mujtama’ muslim, dan terbina satu daulatul muslim, sehinggalah Islam menjadi ustaziatul alam ini. Lalu jelaslah pada kata-kata Imam Hasan Al-Hudaibi, “Tegakkanlah Islam dalam hati kamu, nescaya akan tertegak di bumi kamu.”


Imam Hasan Al-Hudaibi, Mursyidul Am Ikhwan Muslimin ke-2.


Suka untuk saya mengajak semua pemuda-pemuda agar kita sama-sama menyoroti perjuangan panjang ini. Kerana, ini adalah masa depan kita, masa depan anak-anak kita. Inginkah kita melihat anak-anak kita terlibat dalam gejala-gejala sosial yang jijik itu, inginkah kita suatu hari nanti anak-anak kita terlibat dalam gejala seks bebas dan buang bayi? Sudah pasti tidak! Sekali lagi saya mengajak sahabat-sahabat sekalian untuk bersama dalam perjuangan ini. Inilah rintihan hati kecil seorang hamba yang lemah ini.

Semoga kita tergolong dalam hamba-Nya yang diredhai, dan terus thabat atas jalan-Nya sehingga saat ditarik nyawa. InsyaAllah.



*Masih dalam exam mode, tapi terasa ingin sekali menulis khusus untuk diri ini yang agak futur ke belakangan ini.

*Mohon doa dari semua, agar saya dipermudahkan dalam exam dan dalam masa yang sama menyumbang sesuatu untuk agama ini.

"terus melangkah bersama"

May 7, 2010

Mencatat Diari Kehidupan.


Dalam kesibukan ini, dapat juga saya mencuri sedikit masa untuk menulis sedikit pesanan khusus untuk diri yang sering lupa ini, juga tak lupa pada saudara sekalian. Sememangnya mencari waktu yang sesuai untuk menulis amatlah sukar. Jadi, jarang-jarang dapat waktu yang baik untuk menulis. Alhamdulillah.


Mungkin dalam entri kali ini, saya sekadar ingin berkongsi apa yang telah saya lalui dan hadapi dalam tempoh beberapa minggu ini. Walau mungkin entri kali ini agak berbentuk peribadi (kalau ada yang rasakan begitu), namun apa salahnya apa yang baik itu kita kongsi bersama.

*****

24 April 2010 – Program SEEDS

Seorang murabbi pernah berpesan pada saya, “Jadilah dirimu seperti benih yang baik, apabila dicampakkan ke daratan, ia akan menjadi gunung, dan pabila dicampakkan ke lautan, ia akan menjadi sebuah pulau.” Program SEEDS ini benar-benar mengingatkan saya kepada pesanan ini.


Kata penceramah, biar kita dicampakkan di mana pun, yang penting kita adalah benih yang dapat memberi faedah dan kebaikan kepada orang lain di sekitar kita. Tidak kisahlah kita di negeri yang penuh dengan kerosakan, apatah lagi di negeri yang sangat mudah untuk kita menganjurkan kebaikan. Alhamdulillah, saya dibekali semangat dan dorongan yang jitu dari isi-isi ceramah, walau barangkali apa yang disampaikan sudah acapkali kita dengar.


Gembira juga dapat bertemu dengan rakan-rakan baru yang juga bersemangat dalam memperjuangkan agama tercinta ini. Apatah lagi, mereka-mereka adalah golongan yang cerdik pandai, boleh kata hampir semua pelajar yang hadir adalah mereka yang sedang membuat persediaan ke luar negara dalam bidang-bidang yang hebat-hebat. Pelajar dari INTEC, KMB dan ada juga beberapa pelajar lepasan SPM.


Cumanya, apa yang saya benar-benar faham bahawa tugas menyebarkan kebaikan dan mencegah kemungkaran ini bukanlah satu pilihan, tetapi ia adalah satu keperluan dan kemestian dalam hidup kita sebagai seorang muslim. Dan bagi melaksanakan tugas yang penuh cabaran ini, kalimah Tarbiyah itu takkan sesekali boleh lari dari kita.



Lahirnya tokoh hebat seperti Salahuddin Al-Ayubi yang membebaskan Al-Aqsa, Sultan Al-Fateh yang menawan Kota Konstantinopel bukanlah lahir secara tiba-tiba. Tetapi, mereka adalah insan-insan yang lahir dari proses pentarbiyahan yang jitu, murni lagi suci.


2 Mei 2010 – Rehlah Al-Muhib

Selepas melalui seminggu yang agak sibuk, takdir Allah memberi keizinan kepada hamba-Nya ini untuk turut serta dalam Rehlah Al-Muhib yang cukup hebat. Saya dan bersama beberapa orang sahabat, juga ikhwah telah merancang untuk berkelah di Sg. Kanching. Perjalanan kami dari Masjid Negeri ke destinasi mengambil masa hampir 2 jam. Alhamdulillah, kami sampai juga walau agak lewat.


Bergambar sebelum bertolak


Tiada perkataan yang sesuai untuk mengambarkan perasaan saya ketika itu. Kami beramai-ramai bermandi-manda dan bermain ‘Bola Baling Air’. Penat tak terkata, hampir pitam rasanya ketika itu. Kegembiraan kami diseri dengan deruan air terjun yang segar sekali.


Panorama indah di Sg. Kanching



Latar air terjun yang segar

Rehlah yang juga sebahagian dari wasilah tarbiyah amat penting dalam memberi kesan yang mendalam bagi mencapai satu kekuatan ukhuwwah yang padu antara mereka yang berada di jalan kebaikan, jalan dakwah, jalan yang penuh cabaran. Hilangnya wasilah ini dalam proses pentarbiyahan seseorang individu, akan memberi satu impak negatif pada masa hadapan. Syukur, wasilah ini masih saya lagi saya dapat rasai dan lalui. Walau nampak mudah, tetapi sangat berkesan.


"Manisnya ukhuwwah kerana iman dan taqwa"


Rehlah kami juga diselit dengan sedikit perkongsian secara tidak sengaja dari seorang akh, berkaitan dengan gejala peribadi remaja masa kini. Katanya, kalau ingin melihat masa depan sesebuah negara, maka lihatlah pada golongan remaja dan pemudanya. Sekali imbas, memang tak dinafikan betapa parahnya masalah remaja kini. Dengan kehadiran pemuda-pemudi yang agak ramai di Sg. Kanching benar-benar membawa saya mengkoreksi kembali peranan yang telah saya curahkan kepada agama ini. Kita mungkin akan menyalahkan mereka, tetapi buat diri kita sendiri pernahkah kita buat sesuatu?

Semoga persoalan ini tidak terus menjadi sebuah persoalan yang panjang...


6 Mei 2010 – Program ‘Tears of Palestine’

Hidup dalam sebuah suasana yang penuh dengan mungkar dan jahiliyah, benar-benar menyeksakan bagi seorang muslim. Alhamdulillah, Ar-Rahim member keizinan pada saya untuk menganjurkan program buat rakyat palestin yang sekurang-kurangnya dapat menghidupkan serba-serbi bi’ah hasanah yang sangat saya rindui seperti suatu ketika dahulu. Program yang dianjurkan oleh Persatuan Islam Sunway dengan kerjasama Persatuan Melayu Sunway dan Aman Palestin Bhd itu telah dilangsungkan dengan jayanya.


Bersama saudara Sharib (Presiden Persatuan Melayu Sunway),
ketika kami menjaga booth Aman Palestin


Menariknya dari program ini, ceramah yang disampaikan oleh Dr. Abdullah Ma’arof dari Aman Palestin telah membawa audiens melawat sekitar Masjidil Aqsa yang diberkati. Ia seolah-olah benar-benar di hadapan kami dan seakan-akan dapat merasainya. Bagi saya, tak sangka masjid ini cukup indah.


Satu lagi perkara yang cukup menarik yang telah disampaikan oleh penceramah, bahawa beliau mengatakan bahawa Al-Aqsa bukanlah milik orang Palestin, tetapi ia adalah milik kita, hak milik orang Islam, milik saya dan saudara sekalian yang mengaku seorang Islam. Katanya lagi, bukanlah tugas kita di sini untuk ke Palestin sana dan melakukan jihad. Tetapi, takkan boleh sesekali kita lari dari tanggungjawab untuk membebaskan Al-Aqsa. Kemampuan ada pada diri saudara sekalian.


mereka-mereka disebalik TOP Program (dan ramai lagi)

Di sebalik program ini, satu lagi perkara yang dapat saya belajar ialah pengalaman berurusan dengan manusia. Untuk belajar berurusan dengan manusia bukanlah dengan melalui teori tetapi ia melalui pengalaman yang kita hasilkan dari satu tindakan yang muncul dari kefahaman fikrah yang jelas. Hal ini sangat penting kerana urusan dakwah adalah kepada manusia, dan bila ia berkaitan dengan manusia, teknik dan cara yang betul dan berhikmah amatlah penting bagi memastikan hidupnya dakwah itu. Kerana manusia itu bukanlah robot dan mesin yang mampu kita kawal dan aturkan sewenang-wenangnya.


*mungkin sedikit sahaja yang dapat saya kongsikan, apapun yang baik datang dari Allah dan yang buruk datang dari kelemahan diri saya sendiri.

*doakan saya yang akan menghadapi Trial Exam pada 13&14 Mei ini dan Final Exam pada 20 Mei - 1 Jun. Doa daripada anda semua amat saya harapkan dan hargai.

syukran.dan terus melangkah~

Apr 13, 2010

Episod Kehidupan.


Terbaik dibaca dengan musik 'sentuhan jiwa' di kolum kanan dimainkan.




kalau dulu,
tatkala kau mula melihat dunia,
kau cuma mampu menangis dan ketawa,
kau hanya tahu lapar dan dahaga,
kerna kau hanya bayi tak berdosa.


tapi kini,
segalanya berbeza..


kalau dulu,
tatkala kau mula pandai mengira,
kau sudah tahu menilai perkara,
kau merasa segalanya mudah belaka,
kerna kau hanya kanak-kanak mentah sahaja.

tapi kini,
segalanya berbeza..


kalau dulu,
tatkala kau mula meningkat remaja,
kau mula berazam untuk berjaya,
kau hanya fikir, belajar capai cita-cita,
kerna kau masih orang muda.

tapi kini,
segalanya berbeza..


kerna, kini..
kau sudah meningkat dewasa,
kau mula berfikir tentang kerjaya,
kau mula mencari harta,
beban di bahu semakin berat terasa.


kerna, kini..
kau kan punyai keluarga,
dalam masyarakat kau kan menyumbang jasa,
buat agama kau kan mengerah segala tenaga,
juga peranan untuk negara tercinta.


kerna inilah episod kehidupan,
tempuhlah dengan jiwa seorang pemuda,
berfikir secara dewasa,
kelak, tua mu kan bahagia.


***


sepertiga kehidupan ku telah pergi,
pergi ditelan masa dan waktu,
amal dakwi ku masih belum mengisi,
sedang maut ku semakin menghampiri.


walhal,
Usamah sudah memimpin tentera ke Rom,
Al-Fateh sudah jauh ke Konstantinopel,
Mus'ab sudah menjadi murabbi di Yathrib,
aku? masih banyak memberi alasan.


semoga detik ini menjadi titik tolak dalam hidupku,
insyaAllah~



Ammar bin Ahmad Raji
13 April 1990 - 13 April 2010
Kini, masuk umur 20-an.


Mar 20, 2010

Aladdin dan Jin

Teringat zaman kanak-kanak dulu, selalu menonton rancangan kartun Aladdin dan Jin nya yang selalu menolong si Aladdin ketika ditimpa kesusahan atau musibah. Jin itu akan menunaikan hajat si Aladdin walau apa pun bentuk hajatnya. Wah! Nampak macam seronok kalau dapat begitu. Tapi, itu kartun.



Kisah Aladdin dan Jin. Kartun zaman saya kecil-kecil dahulu.

Bak ‘semalam adalah fantasi, hari ini adalah realiti’, memang masa zaman kanak-kanak kita sering diomok-omokkan dengan cara berfikir yang fantasi. Nak apa pun, senang nak dapat. Minta itu, dapat. Minta ini pun dapat. Akhirnya, kita menjadi seperti manusia lapar yang sedang menunggu hidangan datang di depan mata. Malas berusaha dan berkorban untuk mendapatkan sesuatu hatta untuk diri sendiri sekalipun, bukannya untuk orang lain.


Sedangkan, realiltinya bukan begitu. Hidup ini berpaksi pada sunatullah, satu hak yang telah digariskan oleh Allah. Kalau matahari, mesti terbit dari timur. Kalau suatu kelahiran, mesti berpunca dari pencatuman benih lelaki dan perempuan. Kalau nak kenyang, mesti kena makan. Itulah sunatullah atau hukum alam ini. Setiap dari asbab, mesti ada sabab-musababnya.




Bayi yang lahir pasti hasil dari pencantuman benih lelaki dan perempuan.

Begitu juga dalam mencapai kejayaan. Kejayaan takkan datang bergolek, bahkan ia adalah satu proses yang perlu dilaksanakan. Nak dapat 4.0 CGPA, perlu ada usaha. Nak berjaya dalam hidup, mesti ada usaha. Lebih-lebih lagi dalam usaha kita mencapai kejayaan dan kemenangan yang hakiki buat agama ini, usaha itu mestilah lebih lagi. Macam nak bina rumah mainan dengan rumah betul, pasti usaha kedua-keduanya berbeza walau natijah kepada kedua-dua usaha adalah sebuah rumah. Tetapi, nilai kedua-dua rumah adalah berbeza.



Bukanlah kejayaan diatas kertas sahaja yang perlu kita kejar.

Sheikh Mustafa Masyhur telah menggariskan beberapa ciri-ciri (langkah-langkah) untuk mencapai kejayaan (beliau merujuk daripada Al-Quran; [3:146-148]):

1. Ikhlas

2. Tidak lemah (Tidak mudah berputus asa)

3. Sabar

4. Memohon kepada Allah; tetap pendirian & ampunan dosa

5. Taati Allah & Rasul

6. Thabat (tetap di atas jalan-Nya)

7. Zikrullah

Dan seharusnya kita sedar bahawa dalam perjalanan menempa kejayaan, pasti ada liku-liku yang menanti. Ibarat gula dan garam dalam makanan, kalau dicampur dan digaul dengan baik, pasti makanan itu menjadi sangat enak. Kalau Thomas Edison yang berjaya mencipta mentol telah menempuh 10000 kali kegagalan, kita pula?



Thomas Edison bersama mentol ciptaannya.

Kejayaan yang menjadi inspirasi kepada ramai manusia.


Semoga kejayaan dan kemenangan menjadi milik kita bersama. InsyaAllah..

Waallahu'alam.


*Sekadar mengisi sedikit ruang dalam kesibukan masa. Doakan saya dipermudahkan urusan.

*Mungkin satu motivasi, mungkin juga inspirasi. Apa pun, saya sekadar berkongsi dari satu seminar 'Kitalah Mentari Itu' yang saya baru sahaja hadiri.


Feb 18, 2010

Baik, dan Terbaik.




“Abg Ammar, Ameer nak kuih donut!” pinta adikku sambil menuding ke arah 2 ketul donut yang terhidang indah di atas meja makan.

“Nah, amik ni, makan bagi habis tau!” aku hulurkan salah satu donut yang ada.

“Tak nak, Ameer tak nak yang donut ni.” Adikku tiba merungut.

“Ameer nak donut yang besar tu!” Ameer merengek sambil menghentak-hentakkan kaki.

“Haish budak ni.” Balasku.

******

Suatu ketika selepas Ameer mandi, “Abg Ammar, tolong carikkan Ameer baju nak pakai.” Minta Ameer.

Lantas, aku ke almari baju dan memberi Ameer beberapa helai baju yang sesuai untuknya.

“Ameer tak nak baju ni!” bentak Ameer.

“Ameer nak baju yang power tu, yang Ben10 tu.” Rungutan Ameer buat aku terus mencari-cari baju yang diinginkannya walau entah ada tak baju itu.


******

Dari kedua-dua peristiwa tadi, buat saya sering terfikir-fikir kenapa budak-budak kecil ni suka memilih? Fitah manusia itu dapat dilihat dari zaman kanak-kanak kerana mereka itu masih dalam keadaan yang suci dan sering bertindak mengikut naluri bersih manusia yang tidak terbias dengan pemikiran-pemikiran kotor (walau bi’ah saiyiah sekarang sangat syadid). Apa pun, mereka sebenarnya masih dalam keadaan fitrah.


Ameer Hafiz. Adik ku yang paling bongsu. Ragamnya seringkali

mencuit hati, tapi kadang2 agak 'hyperactive'.


Jadi, fitrahnya manusia itu sukakan yang baik dan terbaik. Kalau dalam kisah tadi, Ameer nak yang donut besar dan nak baju yang power. Meski istilah ‘baik & terbaik’ ini bersifat subjektif, namun Islam itu sebagai agama fitrah sememangnya telah menggariskan istilah ini dalam konteks yang sesuai dicapai oleh peranan kita sebagai seorang manusia. Allah tidak sesekali mengharapkan manusia itu mencapai tahap kesempurnaan, kerna itu diluar kadar kemampuan manusia. Tetapi, Allah menganjurkan hamba-Nya untuk menjadi baik dan terbaik dalam setiap apa yang kita lakukan. Sifat ihsan yang diajarkan dalam agama jelas menunjukkan bahawa Islam sangat menitikberatkan tahap terbaik dalam amalan.


Pepatah melayu ada mengatakan, “Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan.” Kata saya, alang-alang buat baik, biar buat yang terbaik. Bukanlah saya bermaksud untuk mengambil mudah hal kebaikan, cuma kita ambil kebaikan itu sebagai satu kemestian. Mudahnya, amalan yang baik adalah perkara yang tidak boleh lari dari kehidupan kita. Dari kita bangun dari tidur sehingga kita kembali melelapkan mata meneruskan sisa-sisa kehidupan, terbentang banyak perkara kebaikan dari sekecil-kecil perkara hingga ke sebesar-besarnya. Cuma persoalannya, terbaikkah apa yang kita buat?


Kalau dalam solat, apakah kita mampu yakin solat yang kita tunaikan benar-benar terbaik? Dalam amalan bantu-membantu orang lain, adakah bantuan itu adalah terbaik yang mampu kita curahkan? Dan macam-macam lagi yang boleh kita nilai. Apa pun, janganlah dilakukan sesuatu perkara bagai melepas batuk di tangga. Namun, apa yang ingin sekali saya tekankan dalam melakukan yang terbaik adalah dalam kita melakukan kewajipan sebagai seorang da’ie. Walau kita di peringkat mana pun, selagi mana kerja amar makruf wa nahi mungkar kita laksanakan seharusnya dilakukan dengan sebaik mungkin. Walau ia perkara kecil yang mungkin kita nampak tidak memberi sebarang impak yang mendalam terhadap perjalanan dakwah.


Namun, boleh jadi amalan yang kecil itu diterima Allah jika ia dibuat dengan sebaik mungkin berbanding amalan yang besar itu dilakukan secara sambil lewa. Janganlah mengambil kira kecil atau besar, banyak atau sedikit, sunat atau wajib, yang penting ia adalah terbaik yang mampu kita lakukan. Ingat! yang penting kualiti, bukan kuantiti.


Semoga entri ringkas ini dapat kita sama-sama amalkan khususnya diri saya sendiri. Janganlah menjadikan tidak tahu atau tidak pandai sebagai alasan, kerna Allah tidak lihat pada hasil tetapi Allah melihat pada usaha kita. Apa yang penting? kita buat, dan bila buat pastikan yang terbaik yang mampu kita hasilkan. InsyaAllah..


WaAllahu 'Alam.


Related Posts with Thumbnails