Jan 27, 2010

Warkah dari Syurga.





“Ataukah kamu mengira bahwa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cobaan) seperti (yang dialami) orang2 terdahulu sebelum kamu. Mereka ditimpa kemelaratan, penderitaan dan diguncang (dengan berbagai cobaan), sehingga Rasul dan orang2 yang beriman bersamanya berkata, “Kapankah datang pertolonganAllah?” Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat.” [2:214]


Syurga? Itulah impian setiap dari manusia di atas muka bumi ini. Tempat abadi yang penuh dengan nikmat, dan setiap manusia itu pasti inginkan syurga. Hatta, golongan tidak beriman juga bercita2 tinggal di dalam syurga kelak.


Saudaraku,

Jika kita menyusuri sirah Ar-Rasul, maka kita akan melihat bagaimana sejarah merakam ujian2 dan dugaan2 yang mereka hadapi semata-mata untuk mempertahankan akidah mereka. mereka telah diseksa, dipulau, diejek, dicemuh malah dibunuh oleh golongan kafir quraisy. Sehinggakan, mereka merasa tertekan dengan keadaan mereka itu.


Namun saudara sekalian, kita lihat bagaimana akhirnya keimanan mereka tak pernah luntur sedikit pun lantas mereka digolongkan oleh Allah sebagai orang2 yang telah dijanjikan syurga buat mereka. Sungguh indah sekali perasaan begitu, impian mendapatkan syurga yang sentiasa diidam2kan setiap manusia itu telah dijanjikan sendiri oleh Tuhan Pemilik Syurga. SubhanAllah.


Saudaraku,

Rasulullah dan para sahabat telah mendapat bayaran syurga dari pengorbanan mereka. Sedangkan kita baru diuji dengan sedikit kesusahan, kekecewaan, kegagalan, dan kepayahan terus rasa lemah semangat dan ingin lari daripadanya. Padahal, kita golongan yang inginkan syurga. Berbaloikah?


Dalam peringkat saya dan juga saudara (yang seperti saya) sebagai seorang pelajar, ujian2 yang hadir dalam waktu begini adalah sebagai persediaan untuk menghadapi ujian2 yang lebih besar dan mencabar kelak. Mungkin sekarang cuma ujian gagal dalam pelajaran, sibuk dengan belajar, waktu lapang yang kurang, dan macam-macam lagi. Kelak, pelabagai jenis kegaglan akan datang, kesibukan kita juga akan menjadi pelbagai, malah waktu lapang akan menjadi seakan-akan tiada. Mudahnya, andai saya gagal untuk ujian sekarang ini saya berpontensi untuk tidak mampu menghadai ujian2 yang lebih besar yang mendatang. Oh! Ya Qawiyul Matin, tabahkanlah jiwa ini di atas jalan-Mu.


Dan akhirnya pengorbanan akan menjadi nilai yang perlu dibayar oleh setiap dari kita. Dan untuk menghasilkan pengorbanan, keyakinan kita pada pengorbanan yang kita curahkan perlulah kuat. Dan keyakinan itu akan hadir dengan kefahaman yang jitu. Dan perasaan untuk memahami akan lahir dari keinginan yang meluap-luap dan semangat yang tinggi dalam diri kita. Mereka para sahabat menjadikan ganjaran syurga sebagai motivasi buat diri mereka, dan mereka yakin dengan-Nya. Maka, kita akan melihat bagaimana mereka menempuh segala ujian yang mereka hadapi dengan penuh takjub.




“Di antara orang2 mukmin itu ada orang2 yang menepati apa yang telah mereka janjikan Kepada Allah. Dan di antara mereka ada yang gugur, dan di antara mereka ada (pula)yang menunggu-nunggu dan mereka sedikit pun tidak mengubah (janjinya).” [23:23]

Moga kita tergolong dalam hamba-Nya yang dijanjikan syurga. InsyaAllah.


Jan 8, 2010

Entri Khas : Kembara Tanah Suci.







Masih belum terlambat untuk saya mengucapkan “Selamat Tahun Baru 1431H & 2010M”, masakan saya tiada di Malaysia di saat tahun baru sahaja membuka tirainya. Meski ramai yang memperkatakan tentang ‘menyambut tahun baru ini’, namun apa yang saya mampu katakan, tiap perkara itu berpontensi menjadi satu kebaikan atau keburukan atau tidak memberi sebarang makna mengikut niat dalam hati masing-masing. Apa pun, niat perlu sentiasa diperbaharui, agar ia sentiasa segar dan tetap atas jalan yang sebenarnya.


******


Mungkin entri kali ini agak ‘special’ kerana suka untuk saya berkongsi bersama saudara sekalian tentang sedikit pengalaman saya di Tanah Suci Mekah dan Madinah.


Alhamdulillah, saya dan keluarga berkesempatan menunaikan ibadah umrah pada bulan yang lepas. Walaupun peluang kami ini diselit dengan berbagai dugaan dan ujian, tetapi akhirnya Allah mengizinkan juga kami menjadi sebagai Duyuf Ar-Rahman di Baitullah Al-Haram ini.




Penulis bersama adik penulis di perkarangan Masjidil-Haram.


Perasaan di tanah haram, Makkah Al-Mukarramah, sangat memberi satu semangat dalam jiwa saya untuk giat beribadah. Apatah lagi, berpeluang melihat sendiri tanah yang menjadi saksi perjuangan Rasulullah bersama para sahabat di awal lahirnya Islam di muka bumi ini.


Penulis di Gua Hira' (tempat turunnya wahyu pertama).


Ibadah Umrah

Mungkin semasa saya belajar dahulu, saya rasakan ibadah umrah ini seperti ibadah-ibadah yang lain. Sungguh tanggapan saya meleset sekali tatkala pertama kali menunaikan ibadah ini di sana. Bak kata Ummi, “Ibadah umrah ini satu ibadah fizikal.” Bayangkanlah! untuk berniat umrah sahaja, saudara mesti keluar dari tanah haram ke tanah halal (yang terdekat pun di Tane’em, 7 batu dari tanah haram). Sedangkan (jika difikirkan) niat itu satu amalan sekadar dalam hati. Misalannya, kalau kita hendak makan, kita perlu berjalan keluar dari rumah sejauh 7 batu untuk berniat “saya hendak makan”. Baru saudara boleh makan di rumah.


Tetapi itulah keunikannya ibadah umrah ini. Ibadah ini mengajar pada kita bahawa dalam mencapai ketaatan itu, bukan hanya bersifat spiritual malah juga fizikal. Ibadah dalam Islam bukan hanya sekadar ruku’ dan sujud, tetapi ia hidup dalam setiap perbuatan kita.


Di Ta’if

Kesempatan kami menggunakan Visa Ziarah, memberi peluang kepada kami untuk berada satu malam di Ta’if. Di sini, cuaca agak sejuk (lingkungan 10 darjah celcius). Ta’if adalah kawasan tanah tinggi. Di sinilah terletaknya makam Ibnu Abbas (sepupu Nabi), dan juga terletaknya Masjid Abdullah Ibnu Abbas. Mujur, kehadiran kami di sini tidak disambut dengan balingan batu-batu sebagaimana yang menimpa Ar-Rasul s.a.w ketika baginda berdakwah di Ta’if dulu.


Penulis di Masjid Ibnu Abbas, Ta'if.


Perjalanan ke Madinah Al-Munawwarah

Ma’al Hijrah saya kali ini memberi saya peluang merasai sendiri pengalaman hijrah Para Muhajirin meskipun sekadar menaiki bas. Perjalanan yang mengambil masa lebih kurang 9 jam (400km) itu membuat saya merasakan bertapa besarnya pengorbanan para Muhajirin dalam menyelamatkan akidah dan iman mereka.


Kota Madinah

Madinah dalam musim sejuk, cuma masih belum mencapai suhu kilmaksnya. Kata seorang pelajar Malaysia di sana, suhu di madinah dalam musim sejuk boleh mencapai sehingga 0 darjah celcius, dan dalam musim panas ia boleh mencapai sehingga 50 darjah celcius. Saya sendiri mengalami sedikit demam panas pada hari pertama sampai di sini.


Tak tertahan rindu pada seorang insan yang penuh jasa pada umatnya. Selepas solat di Raudah, saya memberi salam kepada Baginda, Abu Bakr As-Siddiq R.A, dan Umar Al-Khattab R.A. Sungguh mulia pengorbanan mereka hinggakan setiap manusia yang datang tak putus-putus menziarahi maqam mereka.


Penulis di dalam Masjid Nabawi.


Sirah Yang Hidup

Sepanjang perjalanan saya di dua Tanah Haram ini, saya ditemani buku Fiqh As-Sirah karangan Imam Al-Ghazali dan juga Buku Sirah Raheeq Al-Makhtum. Membaca buku sirah sambil melihat dan merasai sendiri peristiwa sirah An-Nabi yang penuh dengan ibroh membuatkan saya merasai satu perjalanan sirah yang benar-benar hidup. Semoga Allah menempatkan diri ini dalam golongan hambaNya yang bersyukur.


Mungkin perjalanan saya selama 12 hari di sini tak dapat saya kongsikan kesemuanya dalam entri kali ini. Cumanya, apa yang saya cuba kongsikan dapat kita ambil sedikit pengajaran dan ibroh.


Wallahu’alam.


Related Posts with Thumbnails