
******
Mungkin entri kali ini agak ‘special’ kerana suka untuk saya berkongsi bersama saudara sekalian tentang sedikit pengalaman saya di Tanah Suci Mekah dan Madinah.
Alhamdulillah, saya dan keluarga berkesempatan menunaikan ibadah umrah pada bulan yang lepas. Walaupun peluang kami ini diselit dengan berbagai dugaan dan ujian, tetapi akhirnya Allah mengizinkan juga kami menjadi sebagai Duyuf Ar-Rahman di Baitullah Al-Haram ini.
Perasaan di tanah haram, Makkah Al-Mukarramah, sangat memberi satu semangat dalam jiwa saya untuk giat beribadah. Apatah lagi, berpeluang melihat sendiri tanah yang menjadi saksi perjuangan Rasulullah bersama para sahabat di awal lahirnya Islam di muka bumi ini.
Penulis di Gua Hira' (tempat turunnya wahyu pertama).
Ibadah Umrah
Mungkin semasa saya belajar dahulu, saya rasakan ibadah umrah ini seperti ibadah-ibadah yang lain. Sungguh tanggapan saya meleset sekali tatkala pertama kali menunaikan ibadah ini di sana. Bak kata Ummi, “Ibadah umrah ini satu ibadah fizikal.” Bayangkanlah! untuk berniat umrah sahaja, saudara mesti keluar dari tanah haram ke tanah halal (yang terdekat pun di Tane’em, 7 batu dari tanah haram). Sedangkan (jika difikirkan) niat itu satu amalan sekadar dalam hati. Misalannya, kalau kita hendak makan, kita perlu berjalan keluar dari rumah sejauh 7 batu untuk berniat “saya hendak makan”. Baru saudara boleh makan di rumah.
Tetapi itulah keunikannya ibadah umrah ini. Ibadah ini mengajar pada kita bahawa dalam mencapai ketaatan itu, bukan hanya bersifat spiritual malah juga fizikal. Ibadah dalam Islam bukan hanya sekadar ruku’ dan sujud, tetapi ia hidup dalam setiap perbuatan kita.
Di Ta’if
Kesempatan kami menggunakan Visa Ziarah, memberi peluang kepada kami untuk berada satu malam di Ta’if. Di sini, cuaca agak sejuk (lingkungan 10 darjah celcius). Ta’if adalah kawasan tanah tinggi. Di sinilah terletaknya makam Ibnu Abbas (sepupu Nabi), dan juga terletaknya Masjid Abdullah Ibnu Abbas. Mujur, kehadiran kami di sini tidak disambut dengan balingan batu-batu sebagaimana yang menimpa Ar-Rasul s.a.w ketika baginda berdakwah di Ta’if dulu.
Penulis di Masjid Ibnu Abbas, Ta'if.
Perjalanan ke Madinah Al-Munawwarah
Ma’al Hijrah saya kali ini memberi saya peluang merasai sendiri pengalaman hijrah Para Muhajirin meskipun sekadar menaiki bas. Perjalanan yang mengambil masa lebih kurang 9 jam (400km) itu membuat saya merasakan bertapa besarnya pengorbanan para Muhajirin dalam menyelamatkan akidah dan iman mereka.
Kota Madinah
Madinah dalam musim sejuk, cuma masih belum mencapai suhu kilmaksnya. Kata seorang pelajar Malaysia di sana, suhu di madinah dalam musim sejuk boleh mencapai sehingga 0 darjah celcius, dan dalam musim panas ia boleh mencapai sehingga 50 darjah celcius. Saya sendiri mengalami sedikit demam panas pada hari pertama sampai di sini.
Tak tertahan rindu pada seorang insan yang penuh jasa pada umatnya. Selepas solat di Raudah, saya memberi salam kepada Baginda, Abu Bakr As-Siddiq R.A, dan Umar Al-Khattab R.A. Sungguh mulia pengorbanan mereka hinggakan setiap manusia yang datang tak putus-putus menziarahi maqam mereka.
Penulis di dalam Masjid Nabawi.
Sirah Yang Hidup
Sepanjang perjalanan saya di dua Tanah Haram ini, saya ditemani buku Fiqh As-Sirah karangan Imam Al-Ghazali dan juga Buku Sirah Raheeq Al-Makhtum. Membaca buku sirah sambil melihat dan merasai sendiri peristiwa sirah An-Nabi yang penuh dengan ibroh membuatkan saya merasai satu perjalanan sirah yang benar-benar hidup. Semoga Allah menempatkan diri ini dalam golongan hambaNya yang bersyukur.
Mungkin perjalanan saya selama 12 hari di sini tak dapat saya kongsikan kesemuanya dalam entri kali ini. Cumanya, apa yang saya cuba kongsikan dapat kita ambil sedikit pengajaran dan ibroh.
Wallahu’alam.
5 komen:
Bestnye.....huhu
semoga Allah beri peluang kepada kita semua... i.Allah..
bestnye,,sessgghnye, islam itu indah...
hrp, dpt peluang pg sne..insyaALLAH..
seronoknya.......... :)
yup..sgt seronok. tak terbayang dengan kata-kata.
http://viceur.blogspot.com/
Post a Comment