Nov 6, 2011

Kerna Mereka Insan Mulia.



Menjadi seorang murabbi adalah satu tugas yang sangat mulia.


Menjadi insan mulia bukanlah mudah, mereka adalah insan yang mengerahkan segala kehidupan mereka untuk insan lain, tanpa mereka pernah mengharapkan balasan, penghargaan, apatah lagi pujian. Merekalah insan yang sentiasa berkorban, untuk insan lain.

Lihat saja pengorbanan baginda Nabi Muhammad, hidupnya untuk ummat ini, hidupnya untuk diri mu, semata – mata supaya kau dapat merasai kemanisan buah iman dari pohon Islam yang rendang. Walau baginda tak pernah mengenali mu asalkan kau umatnya, baginda tetap mencintai mu dan rindu untuk bertemu dengan mu. Dia Rasul mu tak pernah pinta balasan, kerna dia insan mulia.

Lihat saja pengorbanan ibu mu, mengandungkan mu selama 9 bulan tanpa keluhan, melahirkan mu tanpa risaukan keselamatan dirinya, membesarkan mu tanpa rasa beban, menyayangi mu dengan penuh keikhlasan. Dia ibu mu tak pernah pinta balasan, kerna dia insan mulia.

Lihat saja pengorbanan ayah mu, memberi mu makan tanpa rasa susah, segala belanja dan keinginan mu dia cuba tunaikan tanpa rasa lelah, memarahi mu dengan penuh hikmah. Dia ayah mu tak pernah pinta balasan, kerna dia insan mulia.

Lihat saja pengorbanan guru mu, mendidik mu dengan penuh ketabahan, membimbing mu dengan penuh ketekunan, mengajar mu dengan penuh semangat, agar dia gembira melihat kau berjaya. Dia guru mu tak pernah pinta balasan, kerna dia insan mulia.

Lihat saja pengorbanan sahabat mu, setia menemani mu walau dimana jua, menjadi pendengar mu yang baik, menjadi penawar duka juga penglipur lara, gembiranya dikongsi, sedihnya disembunyi, perasaan mu dijaga dengan rapi, membantu mu dengan segala kudrat diri, mencintai mu semata – mata kerana Ilahi. Dia sahabat mu tak pernah pinta balasan, kerna dia insan mulia.

Lihat saja pengorbanan murabbi mu, masanya diberi untuk mendengar masalah mu, wangnya dikeluarkan untuk meraikan mu, fikirannya hanya untuk mu supaya dia gembira melihat kau berubah ke arah yang lebih baik, senyumnya terus terukir di bibir hanya untuk menyenangkan mu, doanya penuh dengan nama mu, harapannya meninggi agar kau menjadi lebih baik darinya, agar kau menjadi dai’e sepertinya, agar kau dimasukkan ke dalam syurga bersama – samanya, hatinya ikhlas dalam menjadi murabbi mu. Murabbi ini lah yang juga mewarisi perjuangan Nabi mu, yang menatangmu seperti ibu mu, yang menjaga mu umpama ayah mu, yang mendidik mu seperti guru mu, yang rapat seakan sahabat mu, kerna dialah murabbi mu. Namun dia tak pernah pinta balasan dari mu, kerna dia insan mulia.

Semoga Allah memberi balasan yang sebaiknya buat mereka insan – insan mulia, dan menjadikan aku dalam golongan mereka. Ameen..

Salam Eidul Adha 1432H

Ikhlas dari saya,
Ammar bin Ahmad Raji
6 Nov 2011

1 komen:

Asyraf Farique said...

moga diri "mu" berbahagia.

Related Posts with Thumbnails