May 22, 2010

Rintihan Hati Kecil.




Setiap hari, terpampang di dada-dada akhbar berita-berita yang semakin teruk. Kes-kes pembunuhan yang semakin menjadi-jadi, masalah rumahtangga yang semakin rumit, jenayah yang semakin pelik berlaku, kes dadah yang tidak pernah selesai. Ditambah lagi dengan kes masalah remaja yang kian parah, buang anak, khalwat, penzinaan berleluasa malah melibatkan pelajar sekolah, pencintaan yang buta sehingga sanggup lari dari rumah. Semakin saya selak helaian akhbar, semakin runsing hati ini.



Gelaja pembuangan bayi yang semakin menjadi-jadi dari hari ke hari


Bila pemudanya begitu, yang di peringkat yang memimpin (yang sepatutnya menunjukkan contoh yang baik kepada generasi penyambung ini) pula penuh dengan masalah seperti rasuah, sibuk dengan perkara-perkara remeh, masalah ekonomi yang semakin runcing, masalah-masalah perbadi. Hinggakan generasi pemuda ini diabai masa depan mereka.


Orang yang ada agama pula, diperkotak-katikkan, diperguna dan ditipu. Malah, mereka sering dikritik dari segi sistem pengurusan yang sangat lemah. Ditambah lagi dengan masalah aqidah, gejala murtad, dan ajaran sesat dalam kalangan orang Islam. Belum lagi cerita dari ruangan berita dunia yang entah di mana silapnya, di Palestin, Thailand, London, Korea, Amerika dan banyak lagi.


Tapi, bila buka lagi ruangan-ruangan dalam akhbar ini, berita hiburan juga banyak malah kadang-kadang melebihi berita-berita yang realiti. Gosip-gosip murahan, kisah-kisah mengarut antara artis, muzik dan hiburan diagung-agungkan. Terkadang saya terfikir, apa sebenarnya yang ingin dibawa oleh media masa kini, dalam masa yang sama mereka hebahkan tentang gejala sosial yang berlaku dan mereka juga yang sebarkan budaya hiburan melampau ini. Apakah disitu ada makna di sebaliknya?

****

Tidak salah kalau saya katakan inilah mungkin sedikit rintihan hati seorang pemuda yang ingin melihat Islam yang dia anuti mampu memimpin masyarakat ini suatu hari nanti. Inginkan zaman Islam kembali gemilang dan harmoni sepertimana ianya gemilang suatu ketika dahulu. Inginkan dunia ini kembali aman dibawah pemerintahan Islam yang sempurna. Inginkan perubahan pada muka dunia ini. Dan saya yakin, inilah juga impian-impian mereka yang benar-benar memperjuangkan agama ini. Tapi, bagaimana?


“Banyak surat sampai kepadaku sama ada dari Morocco, Jawa, Mesir, Syria, Iraq dan negara kamu (Palestin). Penulis-penulisnya mencadangkan satu Muktamar Islam, atau melantik seorang khalifah atau perkara-perkara yang seumpama dengannya. Namun seperti biasa aku menjawab:

“ Kita WAJIB memulakan usaha Islam ini dari bawah, iaitu melalui TARBIYAH INDIVIDU. Apalah gunanya mengadakan muktamar yang menghimpunkan orang-orang yang lemah, tidak mempunyai keinginan sendiri dan tidak mampu melaksanakan satu keputusan atau resolusi. Apa faedahnya berbuat demikian? Adakah kamu mahu mengumpulkan angka-angka kosong?” (Syakib Arsalan)



Inilah formula kebangkitan dan perubahan yang jelas. Mungkin kita merasakan ia satu formula yang panjang. Tapi, bagi saya inilah yang paling tepat dan berkesan. Mungkin ia mengambil masa, dan saya sendiri tidak akan dapat merasa saat kemenangan itu. Tapi, sekurang-kurangnya saya dapat menyumbang ke arahnya. Dan, nilai perjuangan sebelum kemenangan tidak sama dengan selepas kemenangan, dan yakinlah bahawa kemenangan itu pasti.


Dan sebagai seorang yang mengambil formula ini, seharusnya kita bersedia dari setiap aspek kerana sudah pasti ianya satu usaha yang sangat sukar. Seperti mana kata Sheikh Fathi Yakan, “Dakwah adalah ‘hadamun’ (meruntuh) dan ‘bina’un’ (membina).” Dan maudu’ (target) dakwah kita adalah manusia, dan manusia itu mempunyai hati, nafsu dan perasaan. Juga dakwah itu ‘At-tahliah qabla at-takhliah’ (buang sebelum isi).



Untuk membina sebuah rumah, perlukan perancangan yang teliti.

Apatah lagi untuk membina seorang rijal.


Inilah konsep dakwah yang saya faham membuang segala karat-karat jahilyah dalam diri, menyucikan hati dari sifat-sifat mazmumah dan maksiat,dan kemudian mengisi hati-hati manusia dengan nilai-nilai kemanusiaan, nilai seorang rijal, nilai seorang pejuang dan pendakwah. Juga, membina seorang insan dari seorang ‘mu’min abid’ (mukmin yang cintakan ibadah) kepada ‘da’ie mutaharrik’ (daie yang proaktif).


Sehingga impian Al-Faruq, yang inginkan bumi ini dipenuhi dengan rijal-rijal seperti Abu Ubaidah, Mu’adz Ibnu Jabal, dan Salim (hamba Abu Huzaifah), tercapai. Malah lebih dari itu, rijal-rijal ini akan bersama membina baitul muslim, sehingga melahirkan satu mujtama’ muslim, dan terbina satu daulatul muslim, sehinggalah Islam menjadi ustaziatul alam ini. Lalu jelaslah pada kata-kata Imam Hasan Al-Hudaibi, “Tegakkanlah Islam dalam hati kamu, nescaya akan tertegak di bumi kamu.”


Imam Hasan Al-Hudaibi, Mursyidul Am Ikhwan Muslimin ke-2.


Suka untuk saya mengajak semua pemuda-pemuda agar kita sama-sama menyoroti perjuangan panjang ini. Kerana, ini adalah masa depan kita, masa depan anak-anak kita. Inginkah kita melihat anak-anak kita terlibat dalam gejala-gejala sosial yang jijik itu, inginkah kita suatu hari nanti anak-anak kita terlibat dalam gejala seks bebas dan buang bayi? Sudah pasti tidak! Sekali lagi saya mengajak sahabat-sahabat sekalian untuk bersama dalam perjuangan ini. Inilah rintihan hati kecil seorang hamba yang lemah ini.

Semoga kita tergolong dalam hamba-Nya yang diredhai, dan terus thabat atas jalan-Nya sehingga saat ditarik nyawa. InsyaAllah.



*Masih dalam exam mode, tapi terasa ingin sekali menulis khusus untuk diri ini yang agak futur ke belakangan ini.

*Mohon doa dari semua, agar saya dipermudahkan dalam exam dan dalam masa yang sama menyumbang sesuatu untuk agama ini.

"terus melangkah bersama"

4 komen:

Fahmi Bahrudin said...

Salam perjuangan... saling menguatkan antara satu sama lain.. \(^^)/

mabruk... tulisan yg sangat bermakna~

Ammar Raji said...

i.Allah.. syukran~

abdul hakim said...

salam. ni memang memanfaatkan isi dauroh kat pejabat haritu nih. haha. bittaufiq exam.

Ammar Raji said...

menulis smula agar lebih faham dan ingat kat kepala.. ^_^

syukran~

Related Posts with Thumbnails