May 7, 2010

Mencatat Diari Kehidupan.


Dalam kesibukan ini, dapat juga saya mencuri sedikit masa untuk menulis sedikit pesanan khusus untuk diri yang sering lupa ini, juga tak lupa pada saudara sekalian. Sememangnya mencari waktu yang sesuai untuk menulis amatlah sukar. Jadi, jarang-jarang dapat waktu yang baik untuk menulis. Alhamdulillah.


Mungkin dalam entri kali ini, saya sekadar ingin berkongsi apa yang telah saya lalui dan hadapi dalam tempoh beberapa minggu ini. Walau mungkin entri kali ini agak berbentuk peribadi (kalau ada yang rasakan begitu), namun apa salahnya apa yang baik itu kita kongsi bersama.

*****

24 April 2010 – Program SEEDS

Seorang murabbi pernah berpesan pada saya, “Jadilah dirimu seperti benih yang baik, apabila dicampakkan ke daratan, ia akan menjadi gunung, dan pabila dicampakkan ke lautan, ia akan menjadi sebuah pulau.” Program SEEDS ini benar-benar mengingatkan saya kepada pesanan ini.


Kata penceramah, biar kita dicampakkan di mana pun, yang penting kita adalah benih yang dapat memberi faedah dan kebaikan kepada orang lain di sekitar kita. Tidak kisahlah kita di negeri yang penuh dengan kerosakan, apatah lagi di negeri yang sangat mudah untuk kita menganjurkan kebaikan. Alhamdulillah, saya dibekali semangat dan dorongan yang jitu dari isi-isi ceramah, walau barangkali apa yang disampaikan sudah acapkali kita dengar.


Gembira juga dapat bertemu dengan rakan-rakan baru yang juga bersemangat dalam memperjuangkan agama tercinta ini. Apatah lagi, mereka-mereka adalah golongan yang cerdik pandai, boleh kata hampir semua pelajar yang hadir adalah mereka yang sedang membuat persediaan ke luar negara dalam bidang-bidang yang hebat-hebat. Pelajar dari INTEC, KMB dan ada juga beberapa pelajar lepasan SPM.


Cumanya, apa yang saya benar-benar faham bahawa tugas menyebarkan kebaikan dan mencegah kemungkaran ini bukanlah satu pilihan, tetapi ia adalah satu keperluan dan kemestian dalam hidup kita sebagai seorang muslim. Dan bagi melaksanakan tugas yang penuh cabaran ini, kalimah Tarbiyah itu takkan sesekali boleh lari dari kita.



Lahirnya tokoh hebat seperti Salahuddin Al-Ayubi yang membebaskan Al-Aqsa, Sultan Al-Fateh yang menawan Kota Konstantinopel bukanlah lahir secara tiba-tiba. Tetapi, mereka adalah insan-insan yang lahir dari proses pentarbiyahan yang jitu, murni lagi suci.


2 Mei 2010 – Rehlah Al-Muhib

Selepas melalui seminggu yang agak sibuk, takdir Allah memberi keizinan kepada hamba-Nya ini untuk turut serta dalam Rehlah Al-Muhib yang cukup hebat. Saya dan bersama beberapa orang sahabat, juga ikhwah telah merancang untuk berkelah di Sg. Kanching. Perjalanan kami dari Masjid Negeri ke destinasi mengambil masa hampir 2 jam. Alhamdulillah, kami sampai juga walau agak lewat.


Bergambar sebelum bertolak


Tiada perkataan yang sesuai untuk mengambarkan perasaan saya ketika itu. Kami beramai-ramai bermandi-manda dan bermain ‘Bola Baling Air’. Penat tak terkata, hampir pitam rasanya ketika itu. Kegembiraan kami diseri dengan deruan air terjun yang segar sekali.


Panorama indah di Sg. Kanching



Latar air terjun yang segar

Rehlah yang juga sebahagian dari wasilah tarbiyah amat penting dalam memberi kesan yang mendalam bagi mencapai satu kekuatan ukhuwwah yang padu antara mereka yang berada di jalan kebaikan, jalan dakwah, jalan yang penuh cabaran. Hilangnya wasilah ini dalam proses pentarbiyahan seseorang individu, akan memberi satu impak negatif pada masa hadapan. Syukur, wasilah ini masih saya lagi saya dapat rasai dan lalui. Walau nampak mudah, tetapi sangat berkesan.


"Manisnya ukhuwwah kerana iman dan taqwa"


Rehlah kami juga diselit dengan sedikit perkongsian secara tidak sengaja dari seorang akh, berkaitan dengan gejala peribadi remaja masa kini. Katanya, kalau ingin melihat masa depan sesebuah negara, maka lihatlah pada golongan remaja dan pemudanya. Sekali imbas, memang tak dinafikan betapa parahnya masalah remaja kini. Dengan kehadiran pemuda-pemudi yang agak ramai di Sg. Kanching benar-benar membawa saya mengkoreksi kembali peranan yang telah saya curahkan kepada agama ini. Kita mungkin akan menyalahkan mereka, tetapi buat diri kita sendiri pernahkah kita buat sesuatu?

Semoga persoalan ini tidak terus menjadi sebuah persoalan yang panjang...


6 Mei 2010 – Program ‘Tears of Palestine’

Hidup dalam sebuah suasana yang penuh dengan mungkar dan jahiliyah, benar-benar menyeksakan bagi seorang muslim. Alhamdulillah, Ar-Rahim member keizinan pada saya untuk menganjurkan program buat rakyat palestin yang sekurang-kurangnya dapat menghidupkan serba-serbi bi’ah hasanah yang sangat saya rindui seperti suatu ketika dahulu. Program yang dianjurkan oleh Persatuan Islam Sunway dengan kerjasama Persatuan Melayu Sunway dan Aman Palestin Bhd itu telah dilangsungkan dengan jayanya.


Bersama saudara Sharib (Presiden Persatuan Melayu Sunway),
ketika kami menjaga booth Aman Palestin


Menariknya dari program ini, ceramah yang disampaikan oleh Dr. Abdullah Ma’arof dari Aman Palestin telah membawa audiens melawat sekitar Masjidil Aqsa yang diberkati. Ia seolah-olah benar-benar di hadapan kami dan seakan-akan dapat merasainya. Bagi saya, tak sangka masjid ini cukup indah.


Satu lagi perkara yang cukup menarik yang telah disampaikan oleh penceramah, bahawa beliau mengatakan bahawa Al-Aqsa bukanlah milik orang Palestin, tetapi ia adalah milik kita, hak milik orang Islam, milik saya dan saudara sekalian yang mengaku seorang Islam. Katanya lagi, bukanlah tugas kita di sini untuk ke Palestin sana dan melakukan jihad. Tetapi, takkan boleh sesekali kita lari dari tanggungjawab untuk membebaskan Al-Aqsa. Kemampuan ada pada diri saudara sekalian.


mereka-mereka disebalik TOP Program (dan ramai lagi)

Di sebalik program ini, satu lagi perkara yang dapat saya belajar ialah pengalaman berurusan dengan manusia. Untuk belajar berurusan dengan manusia bukanlah dengan melalui teori tetapi ia melalui pengalaman yang kita hasilkan dari satu tindakan yang muncul dari kefahaman fikrah yang jelas. Hal ini sangat penting kerana urusan dakwah adalah kepada manusia, dan bila ia berkaitan dengan manusia, teknik dan cara yang betul dan berhikmah amatlah penting bagi memastikan hidupnya dakwah itu. Kerana manusia itu bukanlah robot dan mesin yang mampu kita kawal dan aturkan sewenang-wenangnya.


*mungkin sedikit sahaja yang dapat saya kongsikan, apapun yang baik datang dari Allah dan yang buruk datang dari kelemahan diri saya sendiri.

*doakan saya yang akan menghadapi Trial Exam pada 13&14 Mei ini dan Final Exam pada 20 Mei - 1 Jun. Doa daripada anda semua amat saya harapkan dan hargai.

syukran.dan terus melangkah~

1 komen:

Fahmi Bahrudin said...

Bersama meneruskan langkah... bangkit kembali bila rasa futur.. \(^^)/

Related Posts with Thumbnails