Jul 17, 2010

Nafas Yang Baru



Alhamdulillah, dapat lagi kita bertemu setelah sekian lama saya tidak menulis. Walau di benak banyak perkara dan isu yang ingin dikupas dan dikongsi bersama, namun semuanya tidak dapat saya tuliskan di sini. Apa pun, keperluan kepada medan penulisan ini amatlah vital dan ia bukanlah sekadar pada tulisan dan tajuknya sahaja. Bahkan, ia lebih dari itu. Menulis ini mampu menceritakan apa yang tak termampu diluahkan dengan kata-kata, apa yang digambarkan dengan suasana dan foto-foto.



Ia mampu menyampaikan sesuatu yang hanya mampu di kongsi dengan tulisan dan bacaan sahaja. Pada sebuah penulisan, terkandungnya corak pemikiran, seni menulis dan menyampaikan, keindahan gaya bahasa, dan di sinilah terkandungnya isi hati dan perasaan. Secara jujurnya, inilah antara elemen-elemen yang saya terapkan dalam penulisan saya. Maaflah bagi yang kurang setuju.



Langkahan yang baru

Teringat dulu-dulu, sejak pertama kali menjejakkan kaki ke alam persekolahan. Bermulanya di Tadika Amal Taman Keramat, kemudian ke Tadika Ummu Ain. Mungkin waktu itu, tak terasa sangat alam persekolahan ini. Setelah 2 tahun, Tahun 1 saya bermula di Sekolah Menengah Islam Al-Amin, Kuala Lumpur sehingga Tahun 6. Walau saya bukanlah dalam kalangan mereka-mereka yang cerdik pandai, tetapi syukur saya mendapat keputusan yang agak cemerlang dalam UPSR.



Kemudian, saya bercita-cita untuk menghafaz Al-Quran. Alhamdulillah, ayah dan ibu menghantar saya ke Maahad Tahfiz Al-Quran Hira’, Jeram. Sekali lagi, saya sangat bersyukur kerana berjaya menamatkan 30 juzuk Al-Quran dalam tempoh 2 tahun. Di maahad inilah saya pertama kali belajar hidup berdikari. Kemudian saya sambung dalam peringkat menengah di Sekolah Menengah Islam Hira’, Jeram. Sebuah sekolah yang banyak mengajar saya erti kehidupan ini dari kaca mata yang sebenar. Walau sekolahnya amat daif (lagi-lagi zaman awalnya), tetapi kedaifan kami di sini lah yang mengenalkan kami erti kesusahan dan perjuangan. Kerna kisah hidup manusia berjaya pasti adanya kisah kesusahan, kepayahan, dan kesengsaraan. Saya bersyukur dapat belajar di sini. Di sinilah, saya kumpulkan dan cari mutiara-mutiara dakwah dan tarbiyah.



Setelah 5 tahun di peringkat menengah dan Alhamdulillah berjaya menamatkan SPM dengan keputusan yang cemerlang, saya melanjutkan pelajaran dalam satu program persediaan di Sunway University College di bawah tajaan MARA. Bagi saya, episod kali ini agak berbeza. Suasana baru, pertama kali belajar di bawah satu institut yang tidak bertunjangkan Islam. Namun, saya cuba tempuh dengan segala bekalan yang saya perolehi. Selama setahun saya di sini, apa yang saya mampu ungkapkan ialah ada sesetengah perkara yang kita perlu belajar dari orang-orang tertentu, maka di sini perlunya ada pengorbanan keegoan yang jarang sekali kita praktikkan dalam kehidupan.



Kini, kakiku telah melangkah ke menara gading yang sering dicita-citakan oleh setiap orang dari kita. Alhamdulillah, saya kini sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan di Monash University, Sunway Campus. Walau impian saya sememangnya ingin belajar di perantauan, namun tiada rezeki untuk kali ini. Saya bersedia mengambil risiko dari setiap keputusan yang saya ambil. Dan ingatlah, pada bumi itu tidak sesekali ia menyucikan, bahkan amal kita lah yang menentukan. Walau dimana sahaja kita berada, jadilah seorang manusia yang ‘independent’ dan mampu mengorak langkah dengan penuh jitu dan padu. Juga, saya ingin menyampaikan salam kepada semua teman-teman seperjuangan saya yang akan terbang ke Mesir, Jordan dan mana-mana sahaja. Capailah citamu yang setinggi langit, semoga kita bertemu lagi andai tidak di bumi Ilahi, InsyaAllah di Syurga abadi.



Macam anak dara?

Kata seorang murabbi saya, “ Erti seseorang yang benar-benar telah mengikuti tarbiyah, maka segala aspek kehidupannya akan tercermin kehidupan Islami. Kalau dia ada sebuah rumah, maka rumahnya adalah rumah Islam. Kalau dia belajar, maka belajarnya adalah cara Islam. Kalau dia sudah berkeluarga, maka keluarganya adalah keluarga Islam.”



Saya baru sahaja menyewa sebuah rumah di PJS 10 bersama beberapa orang teman. Sebagai orang yang mengikut tarbiyah, rumah itu kami cuba jaga dengan baik dan kemas. Sehingga suatu hari Auntie Zurhiati, tuan rumah kami sempat berceloteh dengan kami, katanya kami ini macam anak dara. Mana tidaknya, rumah ‘bujang’ kami tak macam rumah bujang yang kebiasaan orang fahami. Asal rumah bujang, mesti kena bersepah, mesti kotor, begitu dan begini.



Mungkin nampak pada kebersihan sebuah rumah dan terjaganya ia dengan baik adanya seorang anak gadis yang menjaganya (walau bagi saya zaman dulu bolehlah), namun itulah hakikatnya masyarakat kini. Dari sinilah, saya cuba mengubah persepsi masyarakat bahawa menjaga kebersihan rumah itu adalah satu tuntutan Islam, bukannya untuk anak gadis sahaja.



PJS 10, sebuah kawasan yang agak padat dengan penduduk berbilang kaum (nisbah Melayu: Cina : India, 3:3:3). Kawasan yang penuh dengan anjing-anjing belaan. Masyarakat melayu di sini mengamalkan hidup berjiran dengan baik dan bermuhibbah, mungkin disebabkan bilangannya yang agak minoriti. Walau kami baru seminggu di sini, kami telah dijemput ke beberapa majlis tahlil dan kenduri. Meski rumah kami berada dalam kawasan taraf tinggi, tetapi kami sering bersama kejiranan yang berada dekat dengan kawasan masjid yang bertaraf lebih rendah. Masjidnya pula banyak diimarahkan oleh golongan tua (sekitar 50-an)dan jarang-jarang sekali nampak golongan muda di sini. Jamaah di sini terdiri dari kalangan melayu dan india muslim. Kehadiran kami di sini juga sering disambut baik oleh beberapa orang pakcik yang ada. Kami sebagai orang muda merasa agak bebesar hati.



Impian hari ini, Realiti masa hadapan

Masa akan sentiasa berlalu dan berputar, malam dan siang akan terus silih berganti, saat akan terus bergerak dari detik ke detik, umur akan meningkat, sedang ajal akan menghampiri. Persoalannya, apa yang telah kita sumbangkan untuk diri kita, agama dan orang lain?



Jangan lihat pada apa yang kita tiada, tetapi pandanglah pada apa yang kita ada. Aturlah kehidupan ini hingga saat kematian mu. Pastikan diri ini ditarbiyah walau apa jua keadaan dan situasi kita, dan ingatlah dalam University of Tarbiyah, ia tiada erti ‘graduate’ atau sudah tamat belajar kerana “At-tarbiyah madal hayah, tarbiyah sepanjang hayat”.



Walau entri kali ini agak berbaur emosi dan perasaan malah lebih bersifat peribadi namun pada setiap yang kita lalui itu perlulah kita catitkan dan perhatikan hikmah dan pengajaran darinya. Dan saya cuba kongsikan bersama. Harap saudara semua dapat mengambil sedikit ikitibar. Salam perjuangan dari saya dan doakan agar saya berjaya di dunia dan akhirat, InsyaAllah.


6 komen:

Ahmad ibnu Khairuddin said...

subhanallah.
terima kasih mar..
mengingatkan ana memori2 pahit manis kita bersama kat jeram dlu..
T-T

bittaufiq wannajah
tahniah krn dpt mnjadi qudwah kat taman perumahan tu :)

Ammar Raji said...

syukran mad.. doakan nta berjaya juga~

Fahmi Bahrudin said...

subhanAllah, teruskan langkah ini kerana ia jalan ini tidak pernah ada tempat berhenti..

Ramadhan Aldin said...

salam...sykran ats pkngsian..seluruh khdpn gmbrn tarbiyah kita..

duk rumah semua ikhwah ke?

Ammar Raji said...

fahmi> i.Allah.. sama2 lah kita..
ramadhan> haah.. nak tumpang sini boleh je.. dijemput.. ^_^

Asyraf Farique said...

nice entry mar.. moga2 kita sama2 saling ingat mengingatkan dalam melayari bahtera persahabatan... cewah.. hehe..

Related Posts with Thumbnails