Jul 29, 2010

Tetamu Istimewa.





Di suatu petang yang dingin. Hujan renyai-renyai turun membasahi bumi. Aku baru sahaja lepas pulang dari kolej. Pulang dengan penuh keletihan bermujahadah di dalam dewan kuliah. Petang itu aku cuma habiskan dengan tidur yang enak walaupun perut terasa agak lapar.


Kemudian, kendengaran bunyi motor di luar rumah. Hon motor yang dibunyikan menyentak tidur ayam-ayam ku. Aku menjenguk ke luar. Aku mendapati ada posmen yang datang sambil bosan menunggu aku menyambut kedatangannya. Aku menjadi hairan. Lantas, aku keluar rumah dan menuju ke arah posmen dengan penuh kebingungan.


“Ada apa pak cik?” tanya ku.

“Surat lah, apa lagi..” pak cik posmen menjawab selamba.

“Penting sangat ke pak cik sampai kena hon-hon begitu?” ku menyambung persoalan.

“Mestilah penting, ada surat istimewa.” terang pak cik posmen sambil menyerahkan surat tersebut.

Aku yang masih kebingungan sekadar tersenyum tanda gembira ada surat istimewa yang sampai.

“Terima kasih pak cik.” kata ku.

“Sama-sama.” jawab posmen tadi.


Kemudian si posmen beredar dari rumah. Aku segera ke dalam rumah. Hati rasa tertanya-tanya apa yang istimewa surat tersebut. Tidak sabar rasanya untuk membuka dan membacanya.


Agak-agak nya apalah kandungan surat tersebut ya?


Saat aku membuka sampul surat tersebut, ku dapati ada satu kad berwarna kuning keemasan. Gaya kad tersebut seakan mahal dan hanya mampu dimiliki oleh orang kenamaan sahaja.


Lantas aku membaca kad tersebut,


“ Kepada tuan hamba yang membaca kad ini, tuan hamba sungguh bertuah. Kehidupan tuan hamba akan menjadi lebih bahagia selepas ini. Patik adalah wakil kepada Yang Di Pertuan Agung dengan sukacitanya ingin memaklumkan bahawa baginda ingin sekali berlabuh semalam di rumah tuan hamba. Diharapkan agar tuan hamba dapat bersedia dengan pelawaan ini. Baginda akan singgah di rumah tuan hamba dalam tempoh 2 minggu dari tarikh tuan hamba menerima surat ini.”


Aku terkejut dan terkesima membaca surat ini. Yang Di Pertuan Agung hendak datang bermalam di rumah aku? Di kepala mula memikirkan pelbagai perkara.


Ah! Bilik mana hendak dijadikan kamar baginda? Bilik semua perlu dibersihkan dan ditukar dengan set-set cadar dan langsir yang mahal. Rumah juga perlu dihias lagi supaya kedatangan baginda dapat diterima dengan baik. Halaman rumah lagi, pokok-pokok perlu dicantas dan rumput-rumput perlu dicabut. Huh, banyak perkara yang perlu dilakukan.


*************


Saya ingin mengajak saudara sekalian supaya kita sama-sama cuba meletakkan diri kita di tempat ‘aku’. Apakah agak-agaknya yang saudara sekalian akan lakukan dan persiapkan? Agaknya sempatkah saudara semua bersiap untuk menyambut pelawaan tersebut? Mungkin pelbagai jawapan dan karenah yang saudara akan timbulkan. Apa pun, pastiya ada sedikit perubahan yang saudara akan lakukan.


Apabila seorang tetamu istimewa, seperti Yang Di Pertuan Agung tadi, ingin datang ke rumah kita sudah tentu kita akan membuat persiapan dengan penuh teliti supaya kedatangan tersebut menjadi sesuatu yang benar-benar istimewa. Tetapi, hal ini mungkin menjadi sesuatu yang fantasi.


Namun, kita mungkin terlupa dalam masa beberapa hari lagi ada tetamu istimewa yang benar-benar akan datang ke rumah kita. Siapa? Sudah tentunya tetamu Ramadhan Al-Mubarak Yang Mulia. Adat orang Arab ada menyebut, beberapa minggu sebelum Ramadhan tiba ia ibarat sedang berdiri di depan pintu rumah kita sambil mengunggu untuk mengetuk rumah yang kita diami. Cuma si ahli-ahli rumah yang tidak menyedari kelibat si Ramadhan.



Ingatlah, tetamu istimewa ini bukan calang-calang. Ia membawa maghfirah, rahmah dan nikmat perlepasan dari azab api neraka. Ia membawa satu malam yang menyamai seribu bulan. Ia membawa biah hasanah yang datang dari Tuhan Sekalian Alam. Ia membawa ganjaran pahala yang berlipat ganda. Sungguh istimewa tetamu ini. Apakah kita masih tidak menyedari?


Bagaimana pula persiapan kita menyambut tetamu ini? Inginkah kita mengecewakan kedatangannya? Sudah tentu tidak dan sesekali tidak. Adakah kita ingin menyambut kedatangannya dengan kotoran-kotoran maksiat dan jahiliyah yang ada dalam rumah dan diri kita? Adakah kita ingin sambut dengan bacaan quran yang masih lagi kurang bertajwid dan kurang fasih? Adakah kita ingin sambut dengan masih lemah dan longlainya kita ketika berpuasa? Adakah kita ingin sambut dengan banyak nya perkara lagha yang kita lakukan seharian? Adakah kita ingin sambut dengan subuh gajah yang sering kita amalkan, tanpa sahur, tanpa bangun di malam hari? Adakah kita ingin menyambut Ramadhan dengan begitu? Tidak, sungguh rugi sekiranya begitu.


Maka seharusnya kita bersedia dari sekarang. Apa yang kurang, kita tambahkan. Apa yang lemah, kita perbaiki. Apa-apa yang perlu kita sediakan, kita segera persiapkan. Jangan menangguh lagi. Sebagaimana kita merancang yang terbaik untuk menyambut kedatangan Yang Di Pertuan Agung, maka seharusnya dan semestinya kita perlu merancang yang lebih terbaik untuk menyambut kedatangan Ramadhan Al-Mubarak.


Semoga berbaki beberapa hari sebelum tibanya Ramadhan, kita sudah cuba persiapkan kekuatan hati, mental dan fizikal. Kita cuba mencapai tahap ketakwaan sebagaimana objektif Ramadhan untuk menjadikan diri ini menjadi orang yang bertakwa.


*************


“Allahumma bariklana fi Sya’ban wa balighna Ramadhan.” kata aku di akhir kata surat tersebut. Aku menutup surat dan terus membuat persiapan yang terbaik. InshaAllah.



2 komen:

Ahd Azman said...

cerita yg mula2 tu.. ingatkan betul2
-_-"

ibnu ahmad said...

Hehe..xde la..saje wat dramatik skit..

Related Posts with Thumbnails