Aug 13, 2010

Kisah Orang Muda.




Bila kita berbicara tentang umur, ia mungkin menjadi satu subjek yang sensitif bagi sesetengah orang. Bila kita menyebut orang muda, kita akan merasa mereka adalah golongan yang masih lagi muda dan seharusnya menghabisi masa mudanya dengan keseronokan dan hiburan. Bila kita sebut remaja belasan tahun, kanak-kanak, budak hingusan, pasti kita akan mengambarkan golongan yang tiada apa yang mereka boleh sumbangkan dalam konteks yang besar.


Golongan dewasa merasakan golongan muda tidak perlu sibuk dengan urusan orang dewasa hingga kadang-kadang mereka menolak mentah-mentah sebarang kemahiran, idea dan cadangan yang baik dari golongan muda. Golongan dewasa merasakan golongan muda ini masih terlalu mentah untuk memberi sebarang pendapat, untuk memikirkan hal-hal yang besar hanya kerana mereka dipanggil orang muda, remaja belasan tahun, kanak-kanak, atau budak-budak. Kadang-kadang, mungkin ada benarnya juga.


Golongan muda pula akhirnya merasakan mereka ini masih muda. Hingga sudah berumur belasan tahun, sudah mencapai umur baligh, malah hingga yang sudah berumur macam orang dewasa juga merasa masih muda. Iya lah, menjadi orang muda itu kan seronok. Tidak perlu memikirkan hal-hal yang kompleks dan sukar. Nak buat kerja besar, kerja orang dewasa sikit sudah merasa tidak pandai atau susah. Katanya, ini kerja orang besar. Tapi, mungkin ada benarnya juga.


Kalau kita baca sirah, kita akan mendapati bagaimana golongan muda dan dewasa ini mampu berinteraksi dengan baik hinggakan ia mampu menghasilkan satu suasana yang mampu melahirkan ramai golongan muda yang kalau kita dengar dan bandingkan dengan remaja dan pemuda masa kini amat jauh sekali.


Meskipun mereka digelar pemuda dek kerana umur yang masih muda namun jiwa, tekad dan semangat mereka melebihi jangkauan realiti pemuda yang kita kenali kini. Hati mereka teguh kerana kekuatan dalaman yang mereka bina sedari kecil. Mereka ditarbiyah sejak mula mengenal erti dunia. Golongan tua memandang mereka sesekali bukan sebagai budak hingusan, tetapi seorang pemuda sejati yang mampu mengibar bendera kemenangan buat agama.


Di sini saya akan kongsi sedikit beberapa kisah orang muda, yang kalau ikut zaman kini mereka adalah budak-budak yang masih lagi tidak tahu hujung pangkal dunia ini:

1. Zubair Al-Awwam (15 tahun)

Tatkala hiruk-pikuk kota Mekah mengenai berita Muhammad menjadi Rasul, orang muda ini adalah salah seorang yang mengimani berita tersebut. Sedangkan umurnya baru 15 tahun, kalau zaman kita umur takat ini masih lagi sedang sibuk dengan cintan-cintun monyet yang tak ke mana, masih lagi malas-malas belajar, baru nak mencari identiti sendiri. Tetapi peribadi muda ini mampu menunjukkan nilai yang sebaliknya mengikut kadar umur yang sepatutnya.

2. Thalhah bin Ubaidillah (16 tahun)

Pernah tak kita mendengar remaja belasan tahun yang suka menderma? Mungkin tidak, bahkan kebiasaannya golongan ini lebih suka mementingkan diri sendiri, suka menyimpan duit untuk membeli hanset yang baru, lebih suka menyimpan wang saku di kocek untuk buat belanja besar. Namun hal ini berlaku sebaliknya terhadap peribadi muda ini. Beliau adalah antara sahabat yang paling suka menderma dan berinfak di jalan Allah sehingga Rasulullah menggelarnya “Thalhah Al-Khair”. Kalau nak diikutkan, remaja ini baru berusia 16 tahun.

3. Sa’ad bin Abi Waqqash (17 tahun)

Pemuda yang baru berusia 17 tahun ini sangat hebat diceritakan dalam sirah. Meskipun mengikut tahap remaja sekarang, pemuda ini sedang sibuk dengan peperiksaan SPM. Baru hendak mencari aliran yang sesuai untuknya pada masa hadapan. Namun begitu, pemuda ini mampu berfikir lebih jauh dari itu. Pemuda ini sudah mampu melihat syurga di hadapannya. Pemuda inilah antara sahabat yang pertama kali mengalirkan darah dalam Islam. Malah, doa pemuda ini sangat mudah dimakbulkan Allah serta beliau sangat mahir memanah. Apakah ada sosok remaja 17 tahun zaman kini yang mampu menjadi sebegitu?

4. Arqam bin Abi Arqam Al-Makhzumi (16 tahun)

Kalau kita tanya kepada remaja 16 tahun, apakah dia sanggup untuk mengeluarkan RM 10 untuk sumbangan program remaja di surau? Agak-agak apakah jawapannya. Mungkin begitu sukar bagi remaja tersebut untuk memberikan duit tersebut, betul? Saya anggap anda bersetuju dengan saya. Tapi, kita lihat bagaimana pula peribadi muda Ibnu Arqam ini. Beliau merupakan pemuda yang berasal dari Bani Makhzum, yakni sebuah kabilah yang sering bergaduh dan bersaing dengan Bani Hasyim (Kabilah Rasulullah). Namun, pemuda ini sanggup menjadikan rumahnya sebagai markas kepada dakwah Rasulullah walaupun menghadapi banyak risiko. Bagaimana pemuda 16 tahun ini sanggup menggadai nyawa untuk agama tercinta ini sedangkan remaja 16 tahun zaman sekarang nak keluarkan RM 10 pun susah walaupun duit itu untuk kebaikan dirinya sendiri.

5. Ali bin Abi Thalib (10 tahun)

Kita mungkin merasakan budak umur 10 tahun adalah budak hingusan yang tidak boleh diharap. Tapi, bagaimana pula kisah peribadi kecil ini? Meskipun nilai zahir umur kanak-kanak ini sangat kecil, namun kita semua maklum bagaimana peribadi ini membawa satu nilaian dan kesan yang sangat besar kepada dakwah Rasulullah. Kita lihat bagaimana anak muda 10 tahun ini mampu memahami tahapan dakwah secara rahsia, mampu pergi ke rumah Arqam bin Abi Arqam secara rahsia, mampu solat secara sembunyi, mampu sembunyi-sembunyi membaca Al-Quran supaya tidak dilihat Musyrikin. Masuk akalkah untuk budak 10 tahun melakukan semua ini? Malah, anak muda ini sanggup menggadai nyawa menggantikan tempat tidur rasulullah sewaktu peristiwa hijrah Nabi ke Madinah. Cuba kita fikirkan sejenak!

6. Zaid bin Thabit (13 tahun)

Kisah kali ini agak menarik untuk remaja 13 tahun. Agak-agaknya kalau kita tanyakan kepada remaja 13 tahun tentang impiannya pada masa hadapan, pasti jawapan mereka samada tidak ada impian lagi, atau hendak jadi penyanyi, atau hendak menjadi doktor, dsb. Tapi, saudara tahu apa impian pemuda 13 tahun ini? Saat terdengar pasukan Islam bersiap ke Badar, anak muda ini mengimpikan untuk turut serta dalam peperangan tersebut, satu perjuangan dengan darah. Tapi, anda tahu anak muda ini tubuhnya sangat kecil bahkan diceritakan ketika beliau berazam untuk turut serta dalam peperangan tersebut, anak muda ini mengheret pedangnya yang lebih panjang dari tubuhnya yang kecil. Namun, azamnya untuk turut serta sangat besar dan membara. Bayangkanlah, seorang pelajar Form 1 berazam untuk mati syahid, mustahil? Saudara fikir-fikirlah sendiri. Tetapi, agak sedih kerana Rasulullah telah menolak permintaan pemuda ini untuk turut serta dalam peperangan tersebut atas sebab tubuhnya yang kecil.

Kemudian, adakah pemuda ini menghabisi sebegitu sahaja? Adakah pemuda ini bersorak kegembiraan kerana tidak perlu turut serta dalam peperangan? Sesekali tidak. Pemuda ini akhirnya kembali kepada ibunya, Nawwar binti Malik dalam keadaan penuh kesedihan. Kalau zaman sekarang adalah sebaliknya, para remaja kegembiraan kerana tidak disenaraikan dalam PLKN atau pasukan beruniform. Sebabnya, takut sakitlah, takut penatlah, takut luka sana, luka sini, takut kena pacat, takut muka hitam lah, dan macam-macam lagi alasan yang remeh temeh.

Bagi pemuda ini, impiannya mesti terapai. Lantas, anak muda ini mengadukan hal ini kepada ibunya. Ibunya yang bijak sesekali tidak menghalang niat mulia anaknya itu, bahkan ia mencadangkan agar beliau berjihad melalui lisan dan mata pena.

Dirakamkan kata-kata ibunya,

“ Kamu harus tekun belajar membaca dan menulis (satu kegiatan yang jarang sekali dilakukan ketika itu) serta menghafal Al-Quran dengan baik! Setelah itu berangkat menghadap Rasulullah untuk mengetahui, bagaimana cara menggunakan potensi dan kemampuan yang kita miliki untuk berkhidmat kepada Islam dan Kaum Muslimin!”

Apakah hasilnya?

Tahukan anda bahwa dengan segala kemahiran yang ada oleh pemuda ini. Akhirnya, Rasululllah telah mengarahkan supaya beliau belajar bahasa Ibrani (bahasa terpenting waktu itu), bahasa Suryani (bahasa yang popular), menjadi juru bicara, perunding bagi umat Islam, malah diplih sebagai salah seorang dari penulis wahyu tatkala umurnya masih 13 tahun. Allahuakbar!

Hebat bukan bagi kisah remaja 13 tahun ini?

7. Muadz bin Amr bin Jamuh (14 tahun) & Mu’awwidz bin Afra’ (13 tahun)

Bagaimana pula kisah 2 orang pemuda ini, lain pula dengan kisah Zaid, mereka berdua berkesempatan untuk turut serta dalam peperangan Badar atas faktor tubuh mereka yang agak besar. Mereka berdua adalah dari golongan Anshar dan berazam untuk membunuh Abu Jahal kerana mereka mendengar bahawa Abu Jahal seringkali mencaci Rasulullah. Oleh itu, mereka yang tidak pernah melihat Abu Jahal sebelum ini, bertanya kepada orang sekeliling tentang perihal Abu Jahal. Ketika perang sedang berkecamuk, Saidina Abdur Rahman bin Auf menunjukkan kepada mereka akan Abu Jahal yang saat itu dikawal rapi oleh para Musyrikin. Tapi, di atas keazaman yang kuat mereka tetap berusaha untuk mencapai Abu Jahal. Malah antara Muadz dan Muawwidz sendiri, mereka bersaing untuk membunuh Abu Jahal. Akhirnya, Muadz sampai dahulu kepada Abu Jahal, dan peluang tersebut beliau gunakan dengan sebaiknya. Muadz terus melibas betis Abu Jahal hingga putus serta merta. Namun, apakah pengorbanannya? Beliau terpaksa membayar dengan satu libasan pedang oleh Ikrimah (anak Abu Jahal yang ketika itu masih belum memeluk Islam) hingga hampir putus lengan itu dan hanya tergantung-gantung di kulitnya sahaja. Subhanallah.

Namun, adakah ia menangis? Sesekali tidak. Namun apa yang dikisahkan beliau ketika saat itu,

“Pada hari itu saya benar-benar berperang seharian penuh. Tangan saya yang hampir putus itu hanya bergelantungan di belakang. Dan ketika ia menyulitkan saya, saya pun menginjaknya dengan kaki, lalu saya menariknya hingga tangan saya terputus.”

MashaAllah, apakah ada remaja 14 tahun yang sanggup berbuat demikian? Muadz sanggup memisahkan tangan dari jasadnya agar bisa bebas mengobarkan jihad buat agama.

Bagaimana pula halnya Mu’awwidz, kata Muadz,

“Lalu Mu’awwidz bin Afra melintas di hadapan Abu Jahal yang sedang terluka parah, kemudian ia pun menebasnya dengan pedang. Kemudian membiarkannya dalam keadaan tersengal-sengal dengan nafas terakhirnya.”

Dan akhirnya Mu’awwidz mendapat bayaran mati syahid atas usahanya itu. Subhanallah. Itulah kisah pemuda 13 dan 14 tahun yang jarang sekali kita dengar.

8. Usamah bin Zaid

Seperti sedia maklum, pemuda ini adalah yang terkenal dengan keperibadian pemudanya dalam sejarah Islam. Namun, kisah pemuda ini bukanlah bermula ketika beliau memimpin tentera Islam ketika saat wafatnya Rasulullah. Antara kisah-kisah menarik:

12 tahun – Menjadi salah seorang yang dirujuk Rasulullah ketika Baginda ingin meminta pendapat tentang permasalahan genting iaitu ketika 5 Hijrah berlaku peristiwa Hadithul Ifki (peristiwa Saidatina Aisyah dituduh melakukan perbuatan tercela) sedangkan tiada wahyu yang turun bagi menjawab permasalahan tersebut dalam tempoh yang agak lama.

14 tahun – Banyak mengikuti sariyah dan ghazwah, antaranya penaklukan kota Mekah, Perang Hunain, dll.

15 tahun – Sering menjadi perantara para sahabat dengan Rasulullah dalam hal-hal yang para sahabat segan untuk membicarakan secara langsung kepada Rasulullah.

18 tahun – Dilantik oleh Rasulullah menjadi komandan bala tentera Muslimin untuk menentang bangsa Romawi, bahkan beliau bukan sekadar memimpin golongan anak-anak muda atau orang yang tidak biasa berperang. Tetapi, di belakang beliau ramai lagi tokoh-tokoh yang lebih berpengalaman dan berwibawa seperti Abu Ubaidah bin Jarrah, Zubair bin Awwam, Khalid bin Walid, dan ramai lagi. Sedangkan umur beliau belum lagi mencecah 20-an. Cuba bayangkan, negara kita dipimpin oleh seorang budak lepasan SPM bersama-sama di belakangnya Najib, Anwar Ibrahim, Nik Aziz, dan ramai lagi tokoh-tokoh di Malaysia ini, mustahil kah?

9. Rafi’ bin Khadij & Samurah bin Jundub (kedua-duanya belum baligh)

Kisah kedua-dua pemuda ini pula bermula ketika Perang Uhud, yang mana pada awalnya mereka berdua dikeluarkan dari barisan tentera kerana belum baligh. Namun, tatkala Rasulullah membenarkan semula penyertaan Rafi’ dalam peperangan kerana diberitakan bahwa Rafi’ adalah seorang pemanah yang cekap, Samurah menangis lalu mengadu kepada bapa tirinya akan hal tersebut. Akhirnya, hal itu diketahui Rasulullah dan kemudiannya Rasulullah mengarahkan agar mereka berdua beradu tenaga. Dan, akhirnya Samurah dapat mengalahkan sehinggalah akhirnya Rasulullah membenarkan kedua-duanya turut serta dalam peperangan.

Kita lihat bagaimana pemuda ketika itu sangat berkobar-kobar untuk menyertai barisan jihad walaupun umur masih muda dan telah pun ditolak penyertaan dari barisan. Subhanallah.


Sebenarnya masih banyak lagi kisah-kisah para pemuda yang kita kira umur mereka masih lagi muda namun semangat perjuangan mereka untuk menegakkan agama ini sangat besar. Malah, kadang-kadang melebihi dari sumbangan yang mampu dilakukan oleh orang yang lebih dewasa. Tidak sempat untuk saya ceritakan semuanya di sini.


Untuk kita mengenal dan menjiwai lagi semangat anak-anak muda, di sini saya sertakan nama-nama para sahabat yang muda-muda; Mus’ab bin Umair, Samurah bin Jundub, Ja’afar bin Abi Thalib, As’ad bin Zurarah, Muadz bin Jabal, Abdullah bin Abbas, Abdullah bin Amr bin Ash, Bara’ bin Azib, Zaid bin Arqam, Fathimah bt Muhammad, Aisyah bt Abu Bakar dan banyak lagi.


Dan jika saudara inginkan lebih lagi, boleh lah saudara membaca kisah para pemuda setelah dari generasi sahabat seperti; Abu Idris A-Khaulani, Muhammad Al-Qasim, Imam Al-Bukhari, Imam Nawawi, Imam Syafie, Shalahuddin Al-Ayubi, Sultan Quthuz, Sultan Muhammad Al-Fateh, Abdurrahman Ad-Dakhil, Abdurrahman An-Nashir dan masih banyak lagi.


Antara pengajaran yang boleh diambil:

1. Pentarbiyahan seorang manusia adalah bermula dari zaman kanak-kanaknya, hingga ia mampu membina peribadi yang mampu mengemban usaha dakwah walaupun dalam konteks umur yang masih muda.

2. Perlulah setiap dari kita memiliki sebarang kemahiran yang mampu disumbangkan kepada dakwah. Tiada alasan bagi sesiapa pun untuk mengelak dalam memberi sebarang peranan kepada dakwah kerana setiap manusia itu Allah telah mengurniakannya sesuatu kemahiran dan kebolehan.

3. Di sini pentingnya golongan Murabbi (pendidik) dalam menangani hal-hal yang berkaitan dengan keberlangsungan dakwah seperti yang dilakukan oleh ibu Zaid. Dalam hal ini, perlunya setiap da’ie memahami dan mengenal setiap potensi dan kebolehan mad’u mereka supaya mereka dapat memberi sumbangan kepada dakwah secara optimum.

4. Pentingnya untuk golongan dewasa turut mengambil pendapat dan cadangan golongan muda yang dipercayai sebagai satu langkah mendidik dan menghargai kemampuan mereka dalam berfikir dan menilai tentang sesuatu perkara.


Kata Imam Hasan Al-Banna tentang pemuda,

“Sesuatu gagasan akan berjaya jika wujud keyakinan yang kuat dengan gagasan yang didokong, wujudnya keikhlasan dalam mendokongnya, semangat yang sentiasa membara bersamanya serta sedia berkorban dan berusaha untuk merealisasikannya. Keempat-empat asas ini iaitu keimanan, keikhlasan, semangat dan usaha adalah sifat-sifat istimewa para pemuda. Sebabnya, asas keimanan ialah hati yang bersih, asas keihklasan ialah jiwa yang suci, asas semangat ialah keinginan yang kuat, asas usaha ialah keazaman yang membara. Semua sifat ini hanya ada pada pemuda. Atas dasar ini dalam mana-mana bangsa para pemuda menjadi tonggak kepada kebangkitan mereka. Setiap kebangkitan ada rahsia kekuatannya yang tersendiri. Setiap gagasan ada pendokong panjinya.”


Sekadar ini sahaja apa yang saya mampu kongsikan bersama saudara sekalian. Saya mendoakan agar golongan muda di Malaysia ini mampu menjadi dan mencontohi bagaimana generasi sahabat yang muda dahulu lakukan. insyaAllah.

Waallhu’alam.


Rujukan:

1. Sirah Nabawiyah Ar-Rahik Makhtum, Syaikh Shafiyurrahman Al-Mubarakfuri.

2. Menjadi Pemuda Peka Zaman, Dr Raghib As-Sirjani.

3. Keluasan Islam, Husam Hamidah.

4 komen:

Muhammad Irfan said...

itulah baitul syabab yang ingin kita bina..

Ammar Raji said...

insyaAllah.. sama2 la kita usahakan..

Fahmi Bahrudin said...

mabruk..entry yg sgt memberi inspirasi..

p/s: teringat kisah Abu Ubaidah masa peristiwa badar kubra..besar pengorbanannya untuk agama ini!

Fahmi Bahrudin said...

mabruk..entry yg sgt memberi inspirasi..

p/s: teringat kisah Abu Ubaidah masa peristiwa badar kubra..besar pengorbanannya untuk agama ini!

Related Posts with Thumbnails